KUALA NERUS, 25 Ogos (Bernama) -- Malaysia meletakkan sasaran menjadi juara pada Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 di Arena Lawn Bowls, Bukit Kiara, Kuala Lumpur dari 4 hingga 8 Nov ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata pihaknya yakin misi itu dapat dicapai berdasarkan prestasi pasukan negara dan persiapan yang dilakukan.
“Penganjuran julung kalinya oleh Malaysia melalui Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) ini adalah satu peluang bukan sahaja untuk menonjolkan bakat-bakat boling padang yang kita miliki, malah kita dapat membuktikan kemampuan negara dalam menganjurkan kejohanan peringkat dunia.
“Bagi memastikan Malaysia dapat menganjurkan Piala Dunia 2025 dengan lancar dan berkelas dunia, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan memberi jaminan untuk membantu penganjuran dari pelbagai sudut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan 2025 di Gelanggang Boling Padang, Kompleks Sukan Gong Badak di sini hari ini.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga Penaung Diraja PLBM berkenan berangkat dan merasmikan majlis itu. Turut hadir Presiden PLBM Datuk Awalan Abdul Aziz.
Adam Adli berkata dalam misi bergelar juara, pasukan Malaysia telah dihantar ke Scotland untuk menjalani latihan bersama pasukan terbaik di negara itu.
Selain itu, penganjuran kejohanan Piala Dunia 2025 juga adalah peluang terbaik pasukan negara dalam mempersiapkan diri menghadapi temasya Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.
Beliau berkata PLBM yang diberi amanah untuk menganjurkan kejohanan yang bakal disertai 12 negara itu sedang melakukan persiapan sebaiknya termasuk dari segi infrastruktur.
Sementara itu, Adam Adli berkata Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan 2025 anjuran PLBM dengan kerjasama Persatuan Lawn Bowls Terengganu disertai kira-kira 200 peserta dari seluruh negara.
Kejohanan yang berlangsung mulai hari ini hingga 31 Ogos itu amat penting kerana pencapaian atlet pada kejohanan itu akan menyumbang kepada mata dalam Sistem Ranking Kebangsaan yang telah diperkenalkan sejak tiga tahun lepas.
Beliau berkata kedudukan atlet dalam sistem ranking itu penting sebagai indikator utama dalam proses pemilihan atlet kebangsaan bagi mewakili negara ke kejohanan-kejohanan utama di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial