AM

Boehringer Ingelheim Perhebat Kempen Stop Rabies Fasa 2025 Di Bintulu

25/08/2025 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Boehringer Ingelheim Malaysia memperhebat usaha pencegahan wabak rabies menerusi kempen Stop Rabies Fasa 2025 yang menyasarkan komuniti luar bandar di Bintulu, Sarawak bagi memperkukuh komitmen ke arah sifar kematian menjelang 2030.

Kempen yang dilancarkan di Rumah Panjang Jungan, Bintulu baru-baru ini menggerakkan komuniti, pemimpin belia dan pakar veterinar untuk memerangi wabak yang menjadi antara ancaman kesihatan awam paling mendesak tetapi boleh dicegah di Malaysia.

 Sejak rabies dikesan di Sarawak pada 2017, sebanyak 77 kematian direkodkan kebanyakannya disebabkan kelewatan rawatan selepas digigit haiwan, menurut kenyataan media yang dikeluarkan Boehringer Ingelheim Malaysia.

Kenyataan itu turut memetik Ketua Kesihatan Haiwan, Boehringer Ingelheim Malaysia, Singapura & Indonesia Dr Kam Kok Yen berkata rabies ialah penyakit yang dapat diatasi dengan pengetahuan dan alat sedia ada, namun terlalu banyak nyawa masih terkorban tanpa sebab yang wajar.

Kempen Stop Rabies Fasa 2025 bertujuan memperkasakan komuniti dengan maklumat tepat, latihan praktikal dan akses kepada vaksin untuk komuniti luar bandar bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Kempen di Rumah Panjang Jungan menampilkan program pendidikan rabies secara interaktif yang antara lain memberi pendedahan mengenai langkah rawatan segera selepas gigitan, pemilikan haiwan peliharaan bertanggungjawab serta cara mengenal pasti tanda anjing agresif.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Malaysia One Health University Network (MyOHUN), disokong oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS), Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak.

Inisiatif itu disusuli dengan kempen vaksinasi haiwan oleh DVSS bagi memastikan haiwan peliharaan dan terbiar di sekitar kawasan menerima perlindungan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak Iskandar Turkee yang turut hadir menyokong kempen itu berkata pengalaman Sarawak membuktikan kemajuan signifikan boleh dicapai dalam usaha menghentikan wabak rabies dengan adanya kerjasama antara kerajaan, pakar sains dan komuniti. 

Tuai Rumah Jungan Anak Mitoh berkata, “Kempen ini memberikan kami pengetahuan dan alat untuk melindungi anak-anak serta haiwan kami. la menunjukkan bahawa apabila komuniti bersatu, kita boleh melindungi semua orang.”

Kempen Stop Rabies Fasa 2025 turut dilengkapkan dengan Program Duta Wira Rabies di UPM Sarawak dan menerusi program itu, tujuh juara belia dari daerah berisiko tinggi mempersembahkan projek inovatif pencegahan rabies termasuk kempen kesedaran media sosial dan pemeriksaan vaksinasi tahunan di sekolah.

Kempen kesedaran itu adalah sebahagian daripada kerangka Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 (Pendidikan Berkualiti) Boehringer Ingelheim iaitu syarikat biofarmaseutikal yang aktif dalam kesihatan manusia dan haiwan, dalam mengutamakan hasil kesihatan jangka panjang yang dipacu oleh komuniti.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan juga menyokong sasaran global ‘Zero by 30’ untuk menghapuskan kematian akibat rabies manusia menjelang 2030 melalui pendidikan massa, vaksinasi dan kerjasama merentas sektor. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan