KEPALA BATAS, 25 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), memperkenalkan varieti padi baharu MR 333 dikenali sebagai MENORA, bagi memperkukuh daya saing sektor padi dan beras negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata MR 333 merupakan hasil penyelidikan intensif MARDI, dengan sokongan peruntukan RM36.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Varieti MR 333 ini diperkenalkan sebagai alternatif kepada varieti popular seperti MR 297, MR 315, MR 303 dan MR 307. Ia dibangunkan khas untuk kawasan jelapang dengan potensi hasil sehingga 9.96 tan per hektar.
“Ia juga terbukti berdaya saing, kerana mempunyai ketahanan terhadap penyakit karah, justeru saya yakin varieti ini mampu membantu meningkatkan pendapatan pesawah jika disertai dengan amalan penanaman yang baik,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI MR 333 di Kampung Lahar Minyak di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI Dr Azman Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM Datuk Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Mohamad berkata MR 333 juga mempunyai tempoh matang singkat antara 103 hingga 108 hari, tahan rebah, serta berat 1,000 biji lebih tinggi iaitu 30.9 gram yang merupakan faktor penting dalam meningkatkan produktiviti ladang.
Beliau berkata pengenalan varieti baharu itu, turut mencerminkan usaha berterusan KPKM dan kejayaan penyelidikan MARDI dalam meningkatkan produktiviti padi dan beras negara, seiring dengan kejayaan memperkenalkan varieti MR CL3 dan MR CL4 di FELCRA Seberang Perak, pada bulan lepas.
Mohamad berkata padi MR 333 ditanam secara kaedah mencedung menggunakan mesin jentanam, yang mampu meningkatkan keberkesanan pengurusan tanaman sekali gus memberi pulangan lebih baik kepada pesawah.
Ketika ini MARDI telah menghasilkan sebanyak 58 varieti padi, dengan lebih 95 peratus kawasan jelapang utama negara ditanam menggunakan varieti MARDI.
Terdahulu, Mohamad menyampaikan Geran Agropreneur Muda KPKM dan Geran Projek Perintis RMK12 masing-masing bernilai RM90,000 dan RM37,140 kepada dua penerima, selain turut menyampaikan benih padi MR 333 kepada lima orang Pesawah Projek Peningkatan Skala Varieti Padi Baharu MARDI MR 333.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial