KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Tiga petugas media antara 30 Pesuruhjaya Pengakap daripada pelbagai jawatan pada peringkat kebangsaan dan Ibu Pejabat Kebangsaan yang menerima pentauliahan rasmi serta pelantikan bagi tempoh perkhidmatan selama tiga tahun hingga 2027.
Mereka ialah Pegawai Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Maizatul Jamny Muhammad Rosli, wartawan MalaysiaGazette Syahira Yahya dan jurugambar Free Malaysia Today (FMT) Moganraj Villavan yang ditauliahkan sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan.
Turut menerima tauliah ialah Noor Azmi Ujang sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka dan Kugeneswaran Tamilmany sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sembilan.
Menurut kenyataan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) hari ini, pentauliahan itu bertujuan memperkukuh struktur pentadbiran dan penyelarasan aktiviti pengakap pada peringkat kebangsaan selaras dengan misi PPM untuk melahirkan belia berdaya saing dan berakhlak mulia.
Majlis istiadat yang diadakan di Ibu Pejabat PPM di sini hari ini itu disempurnakan Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral (B) Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin dan turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara Datuk Ahmad Shazilly Ismail Bakti serta Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Dr Mohammed Mukhyuddin Sarwani.
Mohd Zin berkata pelantikan itu bukan sekadar amanah, tetapi satu tanggungjawab besar untuk membimbing generasi muda melalui pendidikan pengakap yang progresif dan menyeluruh.
“Tauliah anda adalah daripada Ketua Pengakap Negara, kuasa yang telah diperturunkan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong. Jadi, tauliah anda adalah amat berharga, tidak seperti tauliah-tauliah oleh persatuan lain.
“Keterampilan, ilmu dan pemimpin penting dan anda berada pada peringkat operasi untuk mengoperasikan sijil ini. Kita mahu PPM menjadi persatuan terhebat bukan sahaja di Malaysia, tetapi di dunia. Jadi bersama-samalah dengan saya bantu Pengakap Malaysia ini menjadi organisasi yang hebat,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau turut berharap semua pesuruhjaya yang ditauliahkan akan berkhidmat dengan penuh integriti, profesionalisme, dan semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam usaha memperkukuh nama baik dan keberkesanan PPM pada peringkat nasional dan antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial