AM

Pasukan Pengurusan TH Kekal 100 Peratus Bumiputera Muslim

24/08/2025 09:19 AM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH), institusi pengurusan haji komprehensif negara menegaskan bahawa pengurusan operasinya ditadbir urus dan dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan pengurusan bumiputera Muslim. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mustakim Mohamad berkata TH sedang melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan semula peranannya sebagai institusi simpanan kewangan Islam yang dihormati agar umat Islam dapat mengembangkan simpanan mereka dan menunaikan ibadat haji.

“Kebelakangan ini, TH lebih dikenali bagi perkhidmatan haji dan pada masa yang sama, kos mengerjakan haji kian meningkat tetapi kadar simpanan pendeposit tidak berkembang dan kebanyakan pendeposit tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk mengerjakan ibadat haji.

"Bagi menangani masalah ini, TH sedang melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan TH sebagai institusi simpanan Islam pilihan di mana umat Islam kekal menabung secara sistematik dan konsisten," katanya dalam kenyataan di sini. 

Mustakim berkata bagi mencapai matlamat penjenamaan tersebut, TH memerlukan kepakaran teknikal yang bersesuaian dan amalan itu adalah sama seperti contoh-contoh daripada sejarah Islam.

“Pengurusan TH dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang 100 bumiputera Muslim, tetapi pelbagai sokongan teknikal diperlukan bagi inisiatif penjenamaan yang kompleks ini dan dibekalkan oleh konsortium yang dibentuk oleh TH," katanya. 

Mustakim berkata TH perlu menjadi sebuah institusi simpanan yang berpaksikan pelanggan dan ini memerlukan evolusi strategi operasi dan jenama yang relevan, efektif dan bersesuaian dengan perubahan demografi yang dinamik.

TH menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang maklumat yang tidak dipastikan kesahihan sumbernya dan mengikuti saluran media sosial rasmi TH untuk mendapatkan info tepat dan sahih.

Menurut TH hantaran video dengan provokasi dan tuduhan melulu kepada organisasi itu terutama berkaitan inisiatif penjenamaan dan tadbir urus yang tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum.

“TH memandang serius perkara ini dan sedang melaksanakan pemantauan rapat terhadap sebarang hantaran di media sosial, sama ada video atau penulisan yang cuba menghasut masyarakat dengan maklumat tidak benar yang boleh mencemarkan imej TH,” menurut kenyataan itu.

TH memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyebaran beberapa video berunsur fitnah dan hasutan di laman sosial.

TH akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu dan pemilik akaun media sosial yang membuat hantaran berunsur hasutan mengikut lunas undang-undang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan