KANGAR, 23 Ogos (Bernama) -- Kontinjen Sabah muncul juara Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) ke-65 selepas berjaya mengutip 19 pingat emas, 22 perak dan 17 gangsa menjadikan keseluruhan 58 pingat.
Sabah menerima piala pusingan kejohanan, piala iringan tajaan Milo serta baucar bernilai RM1,500 tajaan Clamor yang disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Wan Hashim Wan Rahim pada majlis penutup kejohanan itu di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini hari ini.
Kontinjen Selangor meraih naib johan dengan 47 pingat terdiri daripada 18 emas, 14 perak dan 15 gangsa manakala Terengganu di tempat ketiga membawa pulang 17 pingat iaitu sembilan emas, dua perak dan enam gangsa.
Kejohanan yang bermula pada 19 Ogos lepas dan berakhir hari ini disertai kira-kira 1,400 atlet daripada 16 kontinjen negeri melibatkan kategori acara bawah 12 tahun, 15 tahun dan 18 tahun.
Wan Hashim dalam ucapannya berkata kejohanan MSSM bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat atlet murid tetapi juga cerminan komitmen KPM dalam memupuk dan membangunkan potensi generasi muda menerusi sukan.
"Sukan pada peringkat sekolah khususnya di Kejohanan MSSM bukanlah sekadar pertandingan. Ia adalah asas kepada pembentukan peribadi yang seimbang, penerapan nilai-nilai murni seperti kerja berpasukan dan semangat juang yang tinggi.
"Setiap tahun kejohanan ini menyaksikan kelahiran ramai atlet murid yang akhirnya menjadi harapan negara," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Dasar 1 Murid 1 Sukan yang berteraskan penyertaan menyeluruh murid adalah sejajar dengan gerakan Sukan Untuk Semua yang menggalakkan murid melibatkan diri dalam aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup aktif.
Wan Hashim berkata Sukan Untuk Kecemerlangan pula berteraskan pembangunan prestasi atlet murid ke arah kecemerlangan dan menyokong penyertaan atlet murid untuk bertanding di Kejohanan MSSM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial