AM

Insiden Pemasangan Jalur Gemilang Terbalik Tanpa Sengaja Tidak Perlu Diperbesar - Saifuddin

23/08/2025 06:09 PM

BANDAR BAHARU, 23 Ogos (Bernama) -- Insiden pemasangan bendera Malaysia secara terbalik yang terbukti bukan disengajakan tidak harus lagi diperbesar sehingga menimbulkan ketakutan kepada orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan bahawa jika ada pihak yang sengaja berbuat demikian dan ia dilaporkan, pihak polis sudah tentu mengambil tindakan sewajarnya mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Dalam proses siasatan, kita akan tentukan sama ada kesilapan itu disengajakan dengan niat untuk mempersenda ataupun dengan niat yang jelas tidak menunjukkan sifat patriotisme, niat untuk wujudkan satu suasana yang timbul keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Kalau siasatan membuktikan perkara itu maka tindakan yang diambil adalah mengikut undang-undang tapi jika hasil siasatan mendapati ia tidak disengajakan atau khilaf, tentulah kita tidak mahu perkara itu diperbesar,” katanya kepada pemberita pada Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata pemasangan Jalur Gemilang terutama di bulan kemerdekaan merupakan antara cara untuk menunjukkan semangat patriotisme dan ia perlu terus disemat dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.

Saifuddin Nasution turut mengulangi pendirian bahawa pihak polis bersedia sepenuhnya untuk membuka semula kertas siasatan dalam kes kematian pelajar tahfiz Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan pada Disember 2013.

“Kita bersedia untuk melihat kembali... maknanya membawa semula kertas itu kepada Jabatan Peguam Negara dan proses selanjutnya... yang itu saya serahkan kepada pihak polis untuk menetapkan hala tuju. 

“… sama seperti kes adik Zara (Qairina Mahathir), prinsip yang kita guna pakai adalah mencari kebenaran dan menegakkan keadilan berpandukan kepada jalur hukum," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan