SUKAN

Tang Jie-Ee Wei Pamer Prestasi Positif - Rexy

23/08/2025 11:18 AM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menunjukkan perkembangan positif dalam sesi latihan sekali gus memberi petanda baik menjelang Kejohanan Badminton Dunia yang akan bermula Isnin ini di Paris, Perancis. 

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berharap pasangan itu dapat mengekalkan momentum tersebut apabila beraksi di kejohanan berkenaan. 

“Saya nampak sudah ada kemajuan bagi Tang Jie-Ee Wei dalam sesi latihan sebelum ini. 

“Walaupun ia belum signifikan tetapi bagi saya, ini perkembangan positif buat mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini. 

Pasangan di ranking keempat dunia itu, sebelum ini bergelut mencari rentak terbaik hingga pada satu ketika berpisah sementara pada Mac namun kembali bergandingan kurang sebulan kemudian.

Malah pasangan tersebut juga gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir dalam mana-mana kejohanan disertai mereka tahun ini dengan terkandas di separuh akhir sebanyak lima kali, termasuk pada Terbuka Macau.

Dalam pada itu, Rexy berharap Tang Jie-Ee Wei segera melupakan kisah lama mereka dan tidak mengulangi kesilapan sama di Kejohanan Dunia. 

Pada Kejohanan Dunia tahun ini, Tang Jie-Ee Wei menerima bye pada pusingan pertama dan dijangka berdepan beregu India, Rohan Kapoor-Ruthvika Gadde yang menghuni ranking ke-33 dunia di pusingan kedua.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan