JENAYAH & MAHKAMAH

13 Remaja Lelaki Didapati Bersalah Bunuh Pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu

22/08/2025 05:23 PM

TAWAU, 22 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu bersalah membunuh rakan mereka Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, tahun lepas.

Hakim Datuk Duncan Sikodol memutuskan kesemua remaja itu yang didakwa secara bersama bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Beliau menetapkan 28 Ogos ini untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Lahad Datu seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Pada akhir pembelaan, jelas bahawa penjelasan yang diberikan sama ada penafian penuh, alibi, pengakuan sebahagian atau menyalahkan pelajar lain yang tidak dituduh, adalah tidak konsisten dengan bukti, bercanggah dengan saksi bebas atau langsung tidak munasabah.

“Berdasarkan penilaian keterangan secara keseluruhan, mahkamah berpuas hati melampaui keraguan munasabah bahawa kesemua 13 tertuduh bertindak secara bersama dan berkongsi niat yang sama dalam menyebabkan kematian mangsa dalam keadaan yang termasuk di bawah Seksyen 300(c). Pendakwaan telah memenuhi beban pembuktiannya,” kata Duncan dalam penghakiman ringkasnya.

Beliau berkata hujahan pihak pembelaan bahawa para tertuduh hanya berniat untuk memberi pengajaran kepada mangsa dan tidak mengetahui kecederaan itu akan dalam keadaan biasa menyebabkan kematian dan oleh itu hanya patut didakwa di bawah Seksyen 299 Kanun Keseksaan, juga turut tidak berasas.

Duncan berkata di bawah Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan, persoalan bukan sama ada ada niat untuk membunuh, tetapi sama ada kecederaan tubuh itu sengaja dilakukan dan cukup serius dalam keadaan biasa untuk menyebabkan kematian.

“Keterangan perubatan jelas menunjukkan bahawa ia memang cukup serius. Pembelaan berasaskan provokasi juga tidak dapat diterima. Ini bukan satu kehilangan kawalan diri secara tiba-tiba tetapi satu serangan yang berpanjangan dan berulang,” katanya.

Duncan juga menolak cadangan pihak pembelaan bahawa Mohamad Nazmie Aizzat mungkin dapat diselamatkan sekiranya segera diberikan rawatan perubatan, atas alasan bahawa keterangan pakar tidak mengesahkan perkara itu sebagai satu kepastian, hanya satu kemungkinan.

“Saksi pendakwaan kelima Dr Dzureena Abdul Multalib memang mengakui semasa soal balas bahawa ada kemungkinan mangsa boleh diselamatkan jika menerima rawatan perubatan secara rapi dan tepat pada masanya.

“Pada pandangan saya, keterangan beliau sebagai pakar patologi, tidak lebih daripada sekadar mencadangkan satu kemungkinan, bukan kebarangkalian atau kepastian. Atas sebab-sebab ini, mahkamah mendapati serangan maut itu adalah hasil daripada niat bersama dan semua pembelaan yang dikemukakan adalah tidak berasas,” katanya.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili oleh peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo.

Pada 28 Feb lepas, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Prosiding pembelaan bermula pada 10 Mac lepas dengan 18 saksi termasuk 13 tertuduh dipanggil memberi keterangan.

Kes pendakwaan pula bermula 19 Nov tahun lepas, dengan 25 saksi  memberi keterangan termasuk pelajar dan guru kolej vokasional terbabit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan