KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 yang bertujuan menambah baik dan mereformasikan khidmat bantuan guaman, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan RUU berkenaan berkata bacaan kali kedua dan ketiga akan dibuat pada persidangan kali ini.
Menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen, RUU berkenaan bertujuan memansuhkan Akta Bantuan Guaman 1971 (Akta 26) dengan cadangan untuk menaik taraf khidmat bantuan guaman dalam prosiding jenayah dengan menamakannya semula sebagai khidmat pembelaan awam.
RUU itu juga bagi memperkenalkan dua nama jawatan baharu iaitu Ketua Pembela Awam dan pegawai pembela awam.
“Di bawah akta yang dicadangkan ini, mana-mana pun orang boleh dilantik sebagai Ketua Pengarah dan Ketua Pembela Awam dengan syarat orang itu mempunyai kelayakan akademik dalam bidang undang-undang yang diiktiraf oleh kerajaan dan hendaklah mempunyai kemahiran praktikal, pengetahuan dan pengalaman dalam kepeguaman dan litigasi,” menurut naskhah biru itu.
Pada masa ini, Ketua Pengarah dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
Akta yang dicadangkan itu juga akan meluaskan khidmat pendamping guaman kepada semua kanak-kanak tanpa mengira kerakyatan dan kewarganegaraan.
Dalam Bab 4 RUU itu menjelaskan khidmat pendamping guaman boleh disediakan bagi tujuan menasihati penjaga atau pelindung orang yang dibantu, mengenai perkara undang-undang yang timbul dari prosiding yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga.
Selain itu, khidmat pendamping guaman disediakan untuk mendapatkan maklumat yang berhubungan dengan pertuduhan terhadap mana-mana tertuduh dalam mana-mana prosiding jenayah yang orang yang dibantu itu merupakan mangsa.
“Khidmat pendamping guaman boleh disediakan bagi tujuan untuk mendampingi orang yang dibantu dalam mana-mana prosiding di mahkamah dan dengan kebenaran mahkamah untuk bercakap bagi pihak orang yang dibantu, jika perlu,” menurut naskhah biru itu.
RUU itu akan melibatkan perbelanjaan wang tambahan kepada yang amaunnya belum dapat ditentukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial