KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada semua pihak bagi memperkukuh aspek keselamatan serta menangani gejala buli di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Fadhlina berkata beliau bersedia meneliti semua cadangan, termasuk sokongan psikososial, latihan kepada guru dan warden, modul pendidikan untuk ibu bapa, pemantauan di institusi pendidikan, serta pelan anti-buli dalam usaha menangani isu tersebut.
“Usaha memerangi salah laku buli dan memastikan ekosistem selamat di institusi pendidikan adalah tanggungjawab bersama. Pada masa ini, KPM sedang melaksanakan beberapa inisiatif penting bagi memperkukuh aspek keselamatan, termasuk audit keselamatan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), dan penubuhan jawatankuasa reformasi keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi catatan di Facebook selepas menerima memorandum daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) mengenai penambahbaikan pemantauan keselamatan dan usaha bagi menangani salah laku buli.
KPM baru-baru ini meluluskan peruntukan RM3 juta untuk pemasangan CCTV di sekolah berasrama terpilih bermula serta-merta, sebelum diperluas secara berperingkat ke semua sekolah berasrama di seluruh negara.
Menurut KPM, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk memperkukuh pemantauan, mencegah insiden tidak diingini, dan mewujudkan ekosistem selamat serta kondusif bagi semua murid.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial