KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuat kajian penubuhan sebuah agensi tunggal bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dalam pengurusan sisa termasuk sisa pepejal, buangan elektrik dan elektronik (e-sisa), kumbahan dan radioaktif.
Menterinya Nga Kor Ming berkata inisiatif itu, merupakan antara strategi utama diketengahkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai sebahagian usaha menyeluruh pemeliharaan kesihatan bumi dan mencapai matlamat sifar sisa.
“Agensi tunggal ini merangkumi lima asas utama pengurusan sisa iaitu kutipan, pengangkutan, pemulihan, rawatan dan pelupusan.
“Usaha dizahirkan ini seiring dengan komitmen untuk mencapai sifar sisa, selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi hijau, memangkin kesejahteraan sosial dan menjamin kemampanan alam sekitar, sebagaimana ketetapan visi Blueprint Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal di Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) berhubung langkah strategik kementerian dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan sisa pepejal termasuk elemen ekonomi kitar semula, penciptaan pekerjaan hijau dan integrasi teknologi inovatif.
Menjawab soalan tambahan Richard Rapu mengenai strategi kerajaan untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) menangani isu kos pengurusan sisa pepejal yang semakin meningkat, Nga berkata kerajaan memberikan dana yang besar untuk tujuan kerja pembersihan awam di bawah RMK13.
“Hampir setiap tahun, RM2 bilion telah diperuntukkan kepada negeri-negeri yang telah pun menerima pakai Akta 672. Kini Selangor dan Pulau Pinang, secara prinsip juga bersetuju menerima pakai akta sama dan bantuan berskala akan diberikan kepada PBT masing-masing, untuk pastikan pengurusan sisa pepejal itu bersih dan mensejahterakan rakyat,” katanya.
Melalui RMK13 juga, beliau berkata kerajaan turut menyasarkan penggunaan 20 peratus kenderaan kutipan sisa yang menggunakan tenaga elektrik menjelang 2027, selaras dasar dekarbonisasi negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial