KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kerajaan sedang menimbang untuk menubuhkan sebuah Kementerian Undang-Undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau berkata langkah itu juga akan membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam usaha memajukan kedaulatan undang-undang, khususnya dengan negara anggota ASEAN.
“Dengan menyelaraskan diri kepada amalan terbaik jiran kita, Malaysia akan berada pada kedudukan lebih kukuh untuk membentuk sebuah tertib serantau yang lebih adil dan responsif,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Timbalannya M. Kulasegaran serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Anwar berkata Keterangkuman dan Kemampanan telah dipilih sebagai tema utama Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia, dengan menegaskan bahawa keterangkuman bermaksud undang-undang mesti memberi manfaat kepada setiap individu, setiap komuniti dan setiap generasi.
“Tidak memadai keadilan hanya wujud dalam prinsip. Ia mesti dapat dirasai dalam kehidupan masyarakat kita. Undang-undang harus memperkasa dan melindungi, bukan menakut-nakutkan atau mengecualikan,” katanya.
Anwar turut menekankan kepentingan kemampanan dalam membina sistem serta institusi undang-undang yang mampu bertahan serta relevan sepanjang zaman.
“Kekuatan sebenar sesebuah kerajaan tidak terletak pada sejauh mana kuasa yang dimiliki, tetapi pada integriti institusinya, keadilan dalam tadbir urus, serta keyakinan yang diperoleh daripada rakyat,” katanya.
Menyentuh mengenai Wawasan ASEAN 2045, Anwar menegaskan bahawa kedaulatan undang-undang mesti menjadi asas kepada perjalanan tersebut, sambil menekankan bahawa ASEAN berteraskan peraturan adalah tunjang kepercayaan, kestabilan dan kemakmuran bersama.
Anwar turut menyatakan bahawa perpaduan ASEAN tidak semestinya menuntut keseragaman, kerana kepelbagaian tradisi undang-undang, nilai budaya dan pengalaman sejarah di rantau ini boleh menjadi sumber pengayaan, bukannya perpecahan, dalam kalangan negara anggotanya.
Sehubungan itu, Anwar menggesa negara serantau memperkukuh bantuan perundangan bersama, menambah baik mekanisme penyelesaian pertikaian serta berdepan cabaran baharu seperti tadbir urus digital dan pengawalseliaan kecerdasan buatan (AI).
“Ini bukan sekadar pembaharuan bersifat abstrak. Ia merupakan usaha membina kepercayaan, memastikan ASEAN kekal relevan dan berdaya tahan dalam dunia yang berubah dengan pantas,” katanya.
Merujuk kepada ketegangan sempadan baru-baru ini antara Thailand dan Kemboja, Anwar berkata peranan Malaysia sebagai pengantara, yang disokong oleh tekad bersama ASEAN, telah menghasilkan satu perjanjian gencatan senjata.
Beliau berkata rantau ASEAN berulang kali membuktikan bahawa pertikaian boleh diselesaikan melalui dialog dan diplomasi berprinsip.
“Pendekatan ASEAN terhadap keamanan sentiasa berlandaskan kekuatan yang tenang, konsensus dan rasa hormat. Semangat sama harus menjadi panduan dalam kerjasama perundangan kita.”
"Ini bukan sekadar kejayaan diplomasi, malah menjadi peringatan bahawa meskipun berdepan cabaran besar, ASEAN masih mampu mengatasi perpecahan dan menegaskan peranannya sebagai penjaga keamanan serantau.
Beliau berkata forum itu juga akan mengeluarkan Kenyataan Bersama mengenai kerjasama perundangan, hak asasi manusia dan pembangunan mampan, yang akan dipimpin oleh Azalina.
“Namun tiada kenyataan, walau digarap dengan rapi sekalipun, mampu mengubah kehidupan secara sendirinya. Yang penting adalah kesungguhan untuk menterjemah aspirasi kepada tindakan, dan visi kepada kemajuan nyata buat rakyat kita,” katanya.
Forum tiga hari yang bermula 19 Ogos itu menghimpunkan 58 penceramah dan moderator dalam 15 sesi yang dikendalikan pakar, dengan kehadiran lebih 300 peserta dari ASEAN dan luar rantau. Perbincangan merangkumi penyelesaian pertikaian alternatif, pembaharuan undang-undang komersial serta isu perniagaan dan hak asasi manusia.
Forum tersebut dianjurkan oleh Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial