KOTA KINABALU, 20 Ogos (Bernama) – Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) menjalin kerjasama strategik dengan Invest Sabah Berhad (Invest Sabah) menerusi Jelajah Bioekonomi 2025 untuk membantu memperkukuh ekosistem bioekonomi Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata usaha ini seterusnya akan dapat membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pembangunan lestari untuk rakyat negeri ini.
Beliau berkata penyertaan memberangsangkan pada Jelajah Bioekonomi 2024 Sabah tahun lepas menunjukkan bidang bioteknologi dan berasaskan bio di negeri ini memiliki potensi yang amat besar.
Justeru, beliau yakin sokongan strategik agensi negeri dalam siri jelajah kali ini akan membawa lebih banyak perubahan positif kepada pertumbuhan industri berkenaan.
“Kita menitikberatkan bagaimana membantu syarikat bioteknologi negara terutama syarikat di Sabah. “Dengan adanya program ini, kita berharap akan dapat membantu lebih banyak syarikat tempatan untuk menghasilkan produk berpotensi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Program Jelajah Bioekonomi 2025: Edisi Sabah, di sini, hari ini.
Mohd Khairul Fidzal berkata bagi edisi jelajah tahun ini Bioeconomy Corporation menyasarkan sekurang-kurangnya enam lokasi strategik, dengan lebih 200 peserta dan pelancaran 60 produk atau inovasi baharu pada
Beliau berkata, pihaknya akan memperkenal program BioSynergy melalui kerjasama strategik dengan POIC Lahad Datu bagi memacu penyelidikan, pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan sokongan kepada perusahaan tempatan.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memperkukuh kepakaran serta meningkatkan daya saing syarikat Pemecut Berasaskan Bio (BBA) dan berstatus BioNexus di Sabah memandangkan kedua-duanya amat penting dalam ekosistem bioekonomi.
“Lebih 630 syarikat ini (BBA dan berstatus BioNexus) dari seluruh Malaysia telah merekodkan jumlah pelaburan diluluskan mencecah RM8.7 bilion sehingga suku kedua 2025.
“Ini menunjukkan bahawa sokongan berterusan terhadap syarikat-syarikat ini akan memberi impak lebih besar dan berkekalan kepada pembangunan ekonomi berasaskan sains, teknologi dan inovasi (STI) di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata pihaknya komited untuk memajukan lagi syarikat BBA dan berstatus BioNexus sejajar dengan sasaran ditetapkan agar industri itu berupaya menyumbang sebanyak lima peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Dr Firdaus Suffian berkata pihaknya yakin kerjasama dengan Bioeconomy Corporation bukan sahaja mampu memperkukuh ekosistem bioekonomi tempatan tetapi juga membuka ruang untuk pelabur, syarikat inovatif dan komuniti setempat terlibat secara langsung dalam pembangunan industri berasaskan bio.
“Sebagai agensi pembangunan negeri yang bertanggungjawab menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi, kami melihat peluang ini sebagai platform strategik untuk menyokong pertumbuhan industri bioteknologi dan berasaskan bio di Sabah serta meningkatkan peluang ekonomi untuk rakyat.
“Inisiatif ini juga adalah peluang untuk memacu inovasi dan mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan teknologi strategik,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Firdaus berkata Invest Sabah juga berharap lebih banyak syarikat BBA dan berstatus BioNexus dapat dibangunkan di Sabah.
“Penglibatan aktif syarikat-syarikat ini dalam Jelajah Bioekonomi bukan sahaja membuka peluang pembangunan bakat dan pengkomersialan inovasi, tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Sabah dan negara,” katanya.
Menurutnya, Sabah mempunyai potensi besar dalam bidang bioekonomi memandangkan biodiversiti di negeri itu masih boleh diteroka dan dimanfaatkan secara lestari untuk menghasilkan pelbagai produk bernilai tinggi melalui teknologi berasaskan bio.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial