AM

MNKT Setuju Laksana Akta 867 Di Negeri, PBT - Nga

20/08/2025 02:49 PM

PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-86 hari ini bersetuju dengan pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) pada peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), bagi memperkukuh agenda reformasi perkhidmatan awam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Akta 867 membawa empat prinsip utama, iaitu meningkatkan kecekapan perkhidmatan, mengurangkan kerenah birokrasi paling minima 25 peratus, memperkukuh tanggungjawab dalam tadbir urus, melaksanakan reformasi struktur dan memastikan keberkesanan kawal selia.

“Melalui akta baharu ini, kerajaan akan melaksanakan semakan instrumen kawal selia supaya tiada lagi peraturan lapuk yang membebankan rakyat dan komuniti perniagaan.

“Kita juga menetapkan sasaran mengurangkan 25 peratus beban kawal selia, memperkenalkan pendekatan One In, One Out dalam bilangan dokumen kawal selia dan melaksanakan sistem penarafan prestasi perkhidmatan termasuk insentif kewangan, bagi memotivasikan penjawat awam dengan pengiktirafan dan penghargaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang bertujuan meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan, diluluskan di Dewan Rakyat pada 6 Mac, seterusnya di Dewan Negara pada 25 Mac.

Nga berkata MNKT antara lain membincangkan mengenai RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025, untuk mengurus pembangunan semula bandar secara lebih cekap, inklusif dan berdaya huni, dan garis panduan tempat letak kenderaan khas orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan kemudahan untuk golongan itu dilaksanakan dengan lebih seragam di seluruh negara.

“Turut dicadangkan mengenai penggunaan sistem penyejukan berpusat di zon perindustrian yang dijangka mengurangkan pelepasan karbon dan kos tenaga, serta meningkatkan kecekapan operasi industri, dan garis panduan perancangan ladang solar sebagai kerangka utama pembangunan tenaga boleh baharu secara terancang, mesra alam dan tidak menjejaskan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Nga berkata mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof itu, turut menegaskan komitmen kerajaan Persekutuan dan semua pihak berkepentingan, untuk memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Negeri dan PBT dalam merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI.

“Segala keputusan yang dipersetujui akan menjadi landasan utama ke arah tadbir urus tempatan yang lebih cekap, inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara yang seimbang dan lestari,” katanya.

Sebanyak tujuh kertas telah dibentangkan dan dibincangkan pada mesyuarat tersebut, termasuk enam kertas pertimbangan dan satu kertas makluman, merangkumi isu reformasi pentadbiran awam; pembangunan bandar mampan; pemerkasaan agenda inklusiviti; penambahbaikan sistem perolehan kerajaan; serta pelan strategik peralihan tenaga negara ke arah masa depan yang lebih hijau dan berdaya tahan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan