AM

Anwar, PM Kemboja Bincang Perkembangan Gencatan Senjata, Operasi IOT

19/08/2025 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan bersama rakan sejawatnya dari Kemboja Hun Manet mengenai perkembangan terkini gencatan senjata melibatkan negara itu dan Thailand.

Anwar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan perbincangan menerusi telefon itu turut menyentuh perihal pasukan pemerhati sementara (IOT) yang telah menjalankan pemantauan rapi di kawasan sempadan kedua-dua negara tetangga tersebut.

"(Kami turut) berbincang lanjut mengenai langkah lain yang boleh dilakukan untuk memperkemas keberkesanan operasi pemantauan oleh IOT,” katanya. 

Pada Selasa lepas, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata pasukan IOT yang diketuai Malaysia memainkan peranan penting dalam menjalankan siasatan terhadap ketelusan gencatan senjata di sempadan Thailand dan Kemboja.

Beliau juga berkata pasukan itu seterusnya akan memaklumkan hasil siasatan kepada kedua-dua negara.

Pada 28 Julai, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat selepas mesyuarat khas di Putrajaya yang dihoskan Perdana Menteri Malaysia.

Dalam mesyuarat itu, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai turut bersetuju untuk mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) sebagai sebahagian pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan di Facebook, Anwar berkata beliau turut mengadakan perbincangan menerusi telefon mengenai isu sama dengan Pemangku Perdana Menteri Thailand.

"Dalam perbincangan tersebut, kami turut memberi penekanan selain perhatian kepada usaha pasukan IOT yang terus memantau dengan teliti keadaan di sempadan, selain meneliti beberapa ikhtiar lain yang boleh digerakkan ke arah memantapkan operasi pemantauan gencatan senjata.

"Selainnya, kedua-dua kami menyentuh mengenai mesyuarat GBC Thailand dan Kemboja yang akan bersidang pada bulan hadapan," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan