AM

Jawatankuasa Khas Isu Buli Di Perak Turut Libatkan PDRM - Exco

19/08/2025 04:22 PM

PARIT, 19 Ogos (Bernama) -- Jawatankuasa khas bagi menangani insiden buli di Perak yang dibentuk di peringkat negeri dan daerah telah diperkukuh dengan penglibatan wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah berkata turut dilibatkan dalam jawatankuasa itu ialah wakil beberapa agensi kerajaan yang lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan yang telah dibentuk sebelum ini dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri manakala Pegawai Pendidikan Daerah mengetuainya di peringkat daerah.

"Selain itu, 12 PPD di Perak kini giat menjalankan pemantauan termasuk pemeriksaan mengejut di asrama sekolah pada waktu malam bagi meninjau perjalanan aktiviti pembelajaran malam," katanya selepas menyantuni 68 peserta Konvoi Merdeka Klasik Mercedes 2025 di Dataran Cempaka Sari dekat sini hari ini.

Khairudin berkata pendekatan menyeluruh ini penting untuk memastikan isu buli ditangani secara bersama sekali gus mengelakkan sebarang insiden yang lebih serius.

Beliau berkata keutamaan ialah memastikan para pelajar dapat menumpukan sepenuhnya kepada pelajaran dalam suasana selamat, harmoni dan bebas daripada penindasan dengan setiap laporan kes buli mesti diuruskan secara berkesan dan mengikut prosedur yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Memang kita pastikan garis panduan melalui Surat Pekeliling KPM iaitu laporan awal perlu dikemukakan dalam tempoh satu hari, laporan susulan dalam tempoh tiga hari dan laporan lengkap dalam tempoh tujuh hari,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan