AM

McDonald's Malaysia Bayar Zakat RM2 Juta

19/08/2025 03:37 PM

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- McDonald’s Malaysia hari ini mengumumkan pembayaran zakat korporat sebanyak RM2 juta untuk tahun ini, yang akan diagihkan ke 14 negeri di seluruh negara.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata pihaknya akan menjelajah ke seluruh negara, bagi menyerahkan zakat kepada pusat zakat  di negeri masing-masing, dengan majlis berlangsung di restoran McDonald’s terpilih.

“McDonald’s Malaysia amat bersyukur dapat melunaskan pembayaran zakat yang menjadi sebahagian daripada Rukun Islam kita.

“Istimewanya pada tahun ini, syarikat kami bukan sahaja membayar zakat sebagai tuntutan fardu, tetapi juga berkongsi kesyukuran ini bersama masyarakat untuk membantu mereka yang memerlukan dan menyantuni pelanggan yang sentiasa menyokong kami selama ini,” katanya.

Beliau berkata sejak 2017, McDonald’s Malaysia yang merupakan syarikat 100 peratus milik orang Islam, telah mengeluarkan zakat sebanyak RM14 juta.

Azmir berkata Putrajaya menjadi lokasi keempat majlis penyerahan zakat McDonald's Malaysia selepas Perak, Terengganu dan Selangor.

Pada majlis itu, Azmir, bagi pihak McDonald's Malaysia menyerahkan zakat berjumlah RM300,000 kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman, sambil disaksikan Mufti Wilayah Persekutan Ahmad Fauwaz Fadzil.

Abdul Hakim berkata PPZ-MAIWP amat berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia, kerana sentiasa menjadi syarikat korporat yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan zakat perniagaan. 

Selain ia merupakan kewajipan bagi yang berkemampuan, Abdul Hakim berkata sumbangan zakat dari McDonald's Malaysia juga dapat membantu pihaknya untuk mendekati lebih ramai asnaf yang memerlukan. 

“Kami berharap, lebih banyak usaha bersama McDonald’s Malaysia dapat dilaksanakan untuk membantu asnaf secara berpanjangan pada masa akan datang,” katanya.

Pada tahun 2019, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP, yang merupakan pengiktirafan perniagaan Malaysia bagi sumbangan zakat korporat mereka di Wilayah Persekutuan.

Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat itu melengkapi Pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang sedia dimiliki McDonald’s Malaysia.

Pada majlis yang sama, McDonald’s Malaysia turut menyumbangkan 100 Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian kepada keluarga asnaf, sebagai bantuan terus bagi meringankan beban mereka. 

McDonald’s Malaysia juga bersama PPZ-MAIWP turut menjalankan program ziarah rumah ke rumah, untuk menyantuni serta menyumbangkan Kotak Rezeki kepada yang memerlukan, sekitar Putrajaya.

Azmir dalam pada itu berkata selari dengan hasrat untuk menjadi jiran yang prihatin kepada komuniti sekitar restorannya, setiap tahun McDonald’s Malaysia akan menjalankan lebih 10,000 aktiviti kemaslahatan, melibatkan semua lebih 370 restorannya di seluruh negara, menerusi program Komuniti @ McDonald’s.

“Sebagai syarikat yang prihatin, McDonald’s Malaysia juga menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sejak 2017. 

“Antaranya menyambut hari jadi anak-anak yatim, menyumbang moreh ke masjid dan surau, menyantuni warga emas di pusat jagaan pada musim perayaan dan lain-lain lagi. Kami sentiasa mencari peluang untuk mendekati dan menyantuni komuniti daripada semua lapisan masyarakat,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan