JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Buka Kertas Siasatan Pekerja Hotel Pasang Bendera Terbalik

18/08/2025 08:59 PM

SEGAMAT, 18 Ogos (Bernama) -- Polis membuka kertas siasatan berhubung satu hantaran di media sosial yang memaparkan bendera Johor dipasang terbalik di sebuah hotel di Pusat Komersial Taman Yayasan di sini.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, yang mengesahkan pihaknya telah menerima laporan mengenai insiden itu semalam, berkata siasatan awal mendapati bendera tersebut dipasang oleh dua pekerja hotel berkenaan sempena bulan kemerdekaan.

“Seorang daripada pekerja tersebut, yang secara tidak sengaja memasang bendera berkenaan secara terbalik, merupakan warga asing... sebaik ditegur oleh rakannya, dia telah memperbetulkannya semula,” menurut beliau dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zamry berkata semakan mendapati pekerja itu memiliki dokumen pengenalan diri iaitu pasport dan permit kerja yang sah.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan