AM

KPM Junjung Titah Agong Laksana Kempen Antibuli

18/08/2025 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh di semua institusi pendidikan bawah kelolaan KPM bermula pada peringkat sekolah rendah. 

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia termasuk memberikan kesedaran dan memupuk sikap untuk saling menghormati.

“Nilai hormat, disiplin dan kasih sayang akan diterapkan dalam diri setiap murid. Pelaksanaan kempen ini akan dilakukan dengan kerjasama rentas kementerian bagi memastikan impak dan keberkesanannya. 

“Kebersamaan semua pihak adalah dituntut dalam memerangi salah laku buli...menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membentuk generasi masa hadapan yang cemerlang dengan nilai dan akhlak mulia,” menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, kementerian berkenaan sedang merangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberikan tumpuan kepada aspek pendidikan karakter, merangkumi pembinaan nilai-nilai manusiawi untuk melahirkan insan yang beradab, berakhlak dan berintegriti.

“KPM merafak sembah menjunjung kasih atas Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung keperluan untuk membendung salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

“Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menjadi peringatan kepada seluruh warga KPM untuk menangani salah laku buli yang memberi implikasi negatif kepada seluruh masyarakat dan negara,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong hari ini menitahkan kerajaan melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh bagi membendung gejala itu sejak di peringkat sekolah rendah.

Seri Paduka Baginda bertitah budaya buli sekiranya tidak dibendung sejak dari sekolah rendah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.

Sultan Ibrahim bertitah buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan