AM

100,000 Dijangka Meriahkan Malam Himpunan Malaysiaku Bersama Gaza Ahad Ini Di Dataran Merdeka

18/08/2025 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Dataran Merdeka dijangka bertukar menjadi lautan putih pada  Ahad ini apabila lebih 100,000 peserta dari seluruh negara berhimpun sempena Malam Himpunan dan Selawat – MalaysiaKu Bersama Gaza, acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos.

Merentas batas geografi dan perbezaan ideologi, acara anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta disokong Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Sani Araby merangkap pengarah karnival berkata himpunan itu sangat bererti kerana diadakan bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan negara.

“Kita mahu Dataran Merdeka menjadi lautan putih sebagai simbol kesatuan rakyat Malaysia bersama perjuangan Gaza.

“Bersempena bulan kemerdekaan negara, sangatlah bererti untuk kita sebagai rakyat yang sudah merdeka menghayati keperitan dan membantu memerdekakan saudara kita di Gaza dan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGM dan Ketua Pengarah Projek Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata himpunan itu melambangkan suara rakyat Malaysia yang akan bergema di medan dunia.

“Ia juga akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan oleh delegasi aktivis yang menyertai penghantaran bantuan melalui Global Sumud Flotilla, melibatkan 39 negara dalam cubaan aksi aman belayar ke perairan Gaza seperti yang dilakukan oleh kapal Madleen dan Handalah,” katanya.

Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga, berpakaian serba putih bertemakan Gaza dan Palestin untuk bersama-sama menunaikan solat maghrib dan solat hajat perdana yang dipimpin oleh Sheikh Abdul Karim Al-Makki.

Ia diikuti tausiah peduli ummah oleh tokoh pendakwah, manakala kemuncaknya syarahan khas oleh Perdana Menteri, disusuli Deklarasi Sumud Nusantara untuk Gaza, pelepasan delegasi Flotilla Sumud Nusantara dan bacaan Qunut Nazilah.

Majlis Himpunan dan Selawat itu juga menampilkan kumpulan qasidah Majelis AzZahir pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf.

Karnival tiga hari berkenaan turut menyediakan tarikan utama termasuk VR Gaza Time Tunnel, sebuah inovasi kemanusiaan oleh MAPIM, pertunjukan belon panas, Havoc Food Festival, pameran pelbagai agensi, pelancaran Ensiklopedia Himpunan Projek Malaysia di Gaza (Gaza 101), Kids World Hall dan tayangan filem berkisar perjuangan Gaza. 

Lebih 1,000 kenderaan dari seluruh negara dan lapan negara luar dijangka menyertai konvoi darat solidariti, membawa bendera Palestin menuju ke Dataran Merdeka bagi mewujudkan panorama perpaduan yang jarang disaksikan di tanah air.

Kemudahan awam termasuk surau disediakan, namun orang ramai dinasihatkan membawa tikar, sejadah dan payung serta digalakkan menggunakan pengangkutan awam demi keselesaan dan kelancaran acara.

--  BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan