AM

Berita-Berita Ringkas Dewan Rakyat: 18 Ogos

18/08/2025 02:33 PM

LEBIH 13,000 PEGAWAI PERUBATAN KONTRAK DITAWARKAN LANTIKAN TETAP

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 13,552 pegawai perubatan kontrak telah ditawarkan lantikan tetap oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dari 2023 hingga kini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata jumlah itu melebihi sasaran awal kerajaan iaitu 12,800 jawatan tetap dalam tempoh berkenaan, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha menambah baik sistem penjagaan kesihatan negara.

Selain itu, Dzulkefly berkata KKM turut melantik 13,349 pegawai perubatan tetap dan 8,121 jururawat tetap dari 2020 hingga tahun lepas.

“Berdasarkan rekod KKM, seramai 1,856 pegawai perubatan dan 1,754 jururawat lantikan tetap telah meletak jawatan bagi tempoh 2020 hingga 2024,” katanya menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai jumlah doktor dan jururawat yang meletak jawatan serta jumlah pengambilan baharu pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

PENGGUNAAN PEMBAHAGI JALAN ALTERNATIF PERLU KAJIAN TELITI -  AHMAD MASLAN

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Penggunaan pembahagi jalan alternatif seperti pembahagi getah, plastik fleksibel dan roller barrier perlu dikaji dengan teliti, mengambil kira fungsi, kesesuaian lokasi, faktor kejuruteraan serta kemampuan kewangan kerajaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata meskipun teknologi baharu menawarkan ciri keselamatan tambahan, kemampuan kewangan kerajaan untuk menggunakan pembahagi jalan alternatif di semua jalan di Malaysia tetap perlu diambil kira.

“Sebagai contoh, penghadang besi yang banyak kita gunakan di semua jalan di Malaysia kosnya RM500 semeter, tetapi kos untuk penghadang roller barrier yang ada kita buat di dua tiga tempat sebagai percubaan, kosnya RM2,500 semeter,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) yang bertanyakan perancangan kementerian untuk menggantikan pembahagi jalan besi dengan bahan alternatif yang lebih selamat dan kos efektif di kawasan berisiko tinggi.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan