JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat Murid Tahun Enam Lemas Ketika Mandi Sungai Di Dungun Ditemukan Pagi Ini

18/08/2025 12:19 PM

DUNGUN, 18 Ogos (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika mandi-manda bersama rakan-rakannya di Sungai Kampung Delong di sini pada Sabtu, ditemukan lemas pagi ini. 

Penolong Penguasa Bomba Zon 2 Terengganu Sa’ariah Hassan berkata mayat Nik Zariff Maliqi Qausar Nik Sulaiman ditemukan 8.24 pagi tadi pada jarak 700 meter dari lokasi kanak-kanak itu dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat hari ini, iaitu hari ketiga operasi pencarian,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata tiga buah bot digunakan dalam operasi pencarian mangsa yang disertai kira-kira 40 anggota pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung.

Sa’ariah berkata mayat murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Delong itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk proses pengecaman dan tindakan lanjut. 

Sebelum ini Nik Zariff Maliqi Qausar dilaporkan hilang ketika mandi-manda bersama empat rakan di Sungai Kampung Delong pada 5.54 petang Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang berasal dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dihanyutkan arus deras ketika mandi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan