SUKAN

Imigresen FC Gembira Menang Ke Atas Terengganu, Mahu Fokus Aksi Timbal Balik

17/08/2025 11:43 PM

BATU KAWAN, 17 Ogos (Bernama) -- Meskipun meraikan kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) hari ini, Imigresen FC (IFC) mahu terus fokus kepada aksi timbal balik di Gong Badak pada 13 Sept depan.

Ketua jurulatih IFC Yusri Che Lah berkata walaupun gembira dengan keputusan tersebut namun kelebihan satu mata belum cukup untuk pasukannya berada dalam kedudukan selesa dan pasukannya masih perlu bekerja keras bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

“Apa pun nanti, sudah pasti Terengganu akan bermain dengan corak menyerang dan kita perlu mengharungi 90 minit tersebut. Jadi, amat penting untuk kita mencongak keadaan itu serta memastikan pemain dapat beraksi dengan baik.

“Mulai minggu ini juga, kita akan menerima kehadiran dua lagi pemain import bagi melengkapkan pasukan dan pemain perlu bersaing merebut tempat untuk bermain,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Sebelum ini laporan mengatakan IFC akan membawa masuk dua pemain dari Brazil iaitu Pedro Santos yang akan bermain di posisi tengah dan Vinicius Milani di bahagian pertahanan, bagi memperkuat pasukan musim ini.

Yusri tetap memberikan kredit kepada pemain kerana telah beraksi mengikut taktikal dirancang walaupun perlu menempuh perjalanan sukar sebelum memperoleh kemenangan tersebut.

Selain perlawanan timbal balik, beliau berkata skuad Mighty Tigers juga perlu mempersiapkan diri untuk menentang pasukan pendahulu liga JDT pada perlawanan ketiga Liga Super pada 27 Ogos ini.

Sementara itu, pengendali TFC Badrul Afzan Razali menganggap kekalahan hari ini sebagai hukuman di atas kealpaan pemain, terutama di separuh masa kedua.

“Saya hormati keputusan hari ini, namun pemain terlalu mengambil mudah menyebabkan mereka hilang fokus dan kosentrasi, terutama pada separuh masa kedua hingga bolos dengan mudah.

“Apa pun kita masih ada 90 minit di Gong Badak dan harap para pemain dapat mempelajari kesilapan hari ini, dan cuba perbaiki permainan untuk perlawanan akan datang,” katanya.

Terdahulu dalam aksi penuh dramatik di Stadium Negeri Batu Kawan, IFC menang 2-1 dengan pemain import Joao Pedro menjadi wira pasukan selepas menyumbat masuk gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.

Sebelum itu, Rafael Iserhard Holstein menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-54, empat minit selepas pemain TFC Yann Mabella meledak gol pertama perlawanan yang turut menyaksikan tiga gol dibatalkan pengadil masing-masing dua TFC dan satu IFC selepas berlaku kekasaran, kesalahan dan offsaid.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan