KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) memperkasakan 19 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera yang berjaya memperkukuh prestasi serta melonjakkan perniagaan melalui ILTIZAM Catalyst 2024, sebuah program teras di bawah tonggak keusahawanan ILTIZAM.
Pengerusinya, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan dalam satu kenyataan hari ini berkata, syarikat-syarikat ini melalui perubahan berstruktur dengan tumpuan kepada pengukuhan asas perniagaan melalui empat teras utama.
Katanya, empat teras utama berkenaan iaitu pengurusan kewangan dan pematuhan, penjenamaan dan pemasaran digital, adaptasi teknologi serta pembangunan kepimpinan.
“ILTIZAM Catalyst membina ketajaman strategi, mengasah bakat, memperkukuh operasi dan tadbir urus, serta mendorong inovasi dalam daya fikir,” katanya.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas Aliff Omar Mohamad Omar, sejak diperkenalkan pada 2022, ILTIZAM Catalyst membimbing 57 syarikat dari pelbagai sektor termasuk pendidikan, makanan dan minuman, pembuatan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan teknologi maklumat dan perkhidmatan lain.
“Berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama yang diperkenalkan pada 2023, ILTIZAM Catalyst 2024 mencatat impak yang memberangsangkan apabila 95 peratus syarikat lebih jelas tentang hala tuju perniagaan, 89 peratus meningkatkan kemampuan keusahawanan dan kepimpinan, 79 peratus mencatatkan peningkatan kehadiran jenama dan pasaran serta 68 peratus mencatatkan peningkatan keuntungan produk,” jelasnya.
Ekuinas berkata, sejak penubuhannya, ILTIZAM melabur lebih RM115 juta bagi menyokong kemajuan sosioekonomi di seluruh Malaysia.
Katanya, permohonan untuk Program ILTIZAM Catalyst 2026 akan dibuka mulai 16 Okt, 2025 dan PKS bumiputera yang mempunyai rekod keuntungan sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut serta pendapatan tahunan antara RM300,000 hingga RM1 juta digalakkan untuk memohon.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial