CYBERJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan Op Sohor yang dijalankan ketika ini turut mendapat maklumat daripada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Tunku Mahkota Ismail juga mahu isu penyeludupan di sempadan dibanteras.
"Saya ingin memberitahu bahawa Tunku Mahkota Johor selaku Pemangku Sultan Johor dalam hal ini amat bekerjasama dan mahu perkara ini dibanteras. Banyak juga kita dapat maklumat hasil daripada jaringan hubungan Tunku Mahkota Johor," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penutup Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KOMAWAR) di sini hari ini.
Beliau berkata setakat ini sindiket berkenaan dipercayai hanya tertumpu di kawasan selatan tanah air dan tiada tangkapan baharu dibuat.
"Saya jangka setakat ini belum ada lagi (tangkapan baharu), kalau sekiranya ada kaitan, (contohnya) bila kita menyiasat hal-hal berkaitan dengan pengubahan wang haram berkemungkinan akan ada lagi pihak-pihak yang mendapat faedah daripada kegiatan ini, kalau ada di situ, kita akan menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka," katanya.
Azam berkata SPRM sedang menyiasat tujuan kewujudan sebuah syarikat media dalam talian, dengan dua wartawannya antara ditahan dalam Op Sohor baru-baru ini.
Beliau berkata siasatan mendapati kedua-duanya adalah pengamal media dalam talian dan bukannya daripada media arus perdana.
"Mereka bekerja dengan sebuah syarikat yang saya tak boleh kongsi nama syarikat berkenaan. Syarikat ini pun kita sedang siasat atas sebab apa ditubuhkan," katanya.
Azam berkata kedua-dua pengamal media itu dipercayai bertindak sebagai 'enabler' dengan membocorkan maklumat kepada sindiket.
Rabu lepas, media melaporkan SPRM melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di selatan tanah air melalui Op Sohor.
Operasi itu dijalankan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).
Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 sehingga 55 tahun ditangkap di sekitar Lembah Klang.
Siasatan awal mendapati lima pegawai kanan yang menjadi suspek utama disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran ke Malaysia yang kesemuanya membabitkan jumlah nilai sebanyak kira-kira RM5 juta sebulan.
Sementara itu, Azam dalam ucapannya berkata KOMAWAR dianjurkan bukan sahaja untuk memberi pendedahan dan pendidikan mengenai rasuah dan integriti, tetapi juga bertujuan membina nilai diri dan jati diri dalam kalangan mahasiswa.
Objektif utama KOMAWAR yang dianjurkan dua tahun sekali adalah untuk membentuk generasi mahasiswa yang menolak rasuah serta menzahirkan suara pemimpin muda dalam mendukung nilai integriti dan ketelusan dalam pentadbiran negara.
Ia juga memberi ruang kepada mahasiswa menyatakan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah oleh SPRM, sekali gus menanam kesedaran sejak di peringkat awal pengajian tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial