AM

CUEPACS Puji Inisiatif Kerajaan Beri Hadiah Akademik, Kelonggaran Haji

15/08/2025 07:15 PM

PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merakamkan penghargaan kepada kerajaan susulan beberapa pengumuman penting oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-20, termasuk kelonggaran syarat mengerjakan haji bagi penjawat awam yang belum disahkan jawatan.

Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata langkah itu memberi kelebihan kepada penjawat awam yang telah menerima giliran mengerjakan haji namun belum disahkan jawatan.

“Yang pertamanya ialah dari segi mengerjakan haji penjawat awam telah pun dilonggarkan syarat untuk boleh pergi mengerjakan haji walaupun tanpa disahkan jawatan.

“Ini kerana kita dapati ramai penjawat awam yang telah mendapat giliran hajinya tetapi pada masa sama tidak sah dalam jawatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Adnan, keputusan itu adalah antara perkara dimohon CUEPACS dan disambut baik kerana memberi peluang kepada penjawat awam untuk menunaikan ibadat tersebut lebih awal.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut meneruskan pelaksanaan program pembelajaran sepanjang hayat melalui Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) hingga 2026 dengan peruntukan maksimum RM15,000.

“Ini memberi peluang kepada anggota perkhidmatan awam untuk terus (mengikuti) pembelajaran sepanjang hayat ataupun menambah dari segi kemahiran termasuk pembelajaran yang lebih tinggi supaya mereka mampu memberi perkhidmatan lebih baik.

“Sehingga 2026, peluang lebih besar akan diberikan kepada penjawat awam untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka, termasuk menaik taraf pensijilan yang diperoleh,” katanya.

Adnan berkata pengumuman Perdana Menteri berkenaan pemberian imbuhan sekali beri atau hadiah pengiktirafan akademik kepada penjawat awam memberi harapan baharu kepada penjawat awam untuk terus melanjutkan pelajaran secara usaha sendiri, sekali gus meningkatkan prestasi dan produktiviti sektor perkhidmatan awam.

“Walaupun secara sekali beri, amat terharu kerana pengiktirafan dan susah payah penjawat awam yang belajar secara sendiri, kos sendiri dan komitmen tinggi… telah diberi pengiktirafan oleh kerajaan dalam bentuk hadiah pengiktirafan ini,” katanya sambil menyatakan imbuhan itu bernilai RM500, RM1,000 dan RM1,250.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri bahawa penjawat awam yang tidak melakukan perubahan akan ketinggalan, Adnan berkata perubahan budaya kerja adalah penting sejajar perkembangan dunia.

“Penjawat awam hendaklah sentiasa melakukan perubahan kerana seluruh dunia telah berubah dan kalau kita gagal untuk berubah, sudah pastilah kita ketinggalan.

“…bukan lagi bekerja dalam keadaan selesa atau berpuas hati seperti dahulu, iaitu budaya lama yang ditinggalkan sebelum peningkatan gaji,” katanya.

Beliau berkata transformasi berterusan akan memastikan sektor perkhidmatan awam sentiasa segar dan memberi sistem penyampaian terbaik kepada rakyat dan negara.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan