DUNIA

Yunus Tidak Akan Bertanding Pilihan Raya Bangladesh, Tumpu Pada Reformasi

15/08/2025 02:18 PM

Oleh Voon Miaw Ping and Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Ketua Penasihat Bangladesh, Prof Dr Muhammad Yunus menegaskan beliau tidak berhasrat untuk terlibat secara aktif dalam politik atau bertanding pada pilihan raya umum negara itu yang dijadual berlangsung Februari tahun depan.

“Tidak, saya bukan orang yang mempunyai sebarang peluang untuk menyertai politik,” kata penerima Anugerah Nobel Keamanan itu kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam satu temu bual eksklusif semasa lawatan rasminya ke Malaysia awal minggu ini.

Dalam perbualan bersama Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Editor Perkhidmatan Berita Antarabangsa Voon Miaw Ping dan Penolong Editor Perkhidmatan Berita Ekonomi Kisho Kumari Sucedaram, Yunus berkongsi mengenai peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya untuk memulihkan serta membangunkan semula Bangladesh.

Beliau berkata tumpuan utamanya kekal kepada usaha memacu pentadbiran sementara bagi mencapai agenda reformasi.

Pakar ekonomi dan usahawan sosial terkemuka dunia itu dipilih oleh Presiden Bangladesh Mohammed Shahabuddin untuk mengetuai kerajaan peralihan pada 8 Ogos 2024 susulan kebangkitan belia yang menggulingkan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, sekali gus menamatkan pemerintahannya selama 15 tahun.

“Kami telah melalui perjalanan yang jauh dalam tempoh setahun. Kami baru sahaja melengkapkan setahun pada Ogos ini dan telah mencapai banyak kemajuan,” katanya.

Antara kemajuan utama adalah penubuhan Consensus Building Commission berasaskan dapatan 11 suruhanjaya reformasi.

Tugas suruhanjaya berkaitan reformasi pilihan raya dan dijangka selesai dengan penerbitan laporan akhir pada penghujung bulan ini, sekali gus menjadi langkah penting ke arah pembentukan sistem pilihan raya yang lebih inklusif, melibatkan semua pihak dan diyakini.

“Kami hampir ke penghujungnya. Mungkin pada akhir bulan ini, kami akan mempunyai laporan Consensus Building Commission,” katanya.

Suruhanjaya itu juga ditugaskan mendapat persetujuan mengenai isu-isu perlembagaan dan politik sensitif, seperti sama ada parlimen patut berbentuk satu dewan atau dwidewan.

“Dalam isu politik, anda memerlukan konsensus. Sama ada parlimen akan terdiri daripada satu dewan atau dwidewan, terdapat perdebatan besar mengenainya,” katanya.

Suruhanjaya berinteraksi secara langsung dengan parti politik untuk memahami pendirian mereka serta menggalakkan perbincangan terbuka, dengan prosiding disiarkan di seluruh negara bagi memastikan ketelusan, katanya.

Dengan negara kini kembali berada di landasan yang betul, Yunus berkata Bangladesh bersedia untuk menghadapi pilihan raya Februari depan.

Beliau berkata ia akan menjadi pilihan raya yang pertama diyakini dalam tempoh bertahun-tahun, selepas tiga pilihan raya sebelum ini di bawah pentadbiran Hasina dicemari dakwaan penipuan, kontroversi dan penindasan pengundi.

“Buat kali pertama selepas sekian lama, mereka akan benar-benar mengadakan pilihan raya, kerana semua pilihan raya sebelum ini hanyalah pilihan raya palsu.

“Tiada siapa benar-benar pergi ke pusat mengundi. Rakyat tidak tahu apa yang berlaku di pusat mengundi,” katanya.

Pilihan raya umum kali ini juga penting bagi jutaan pengundi yang sekian lama dinafikan peluang mengundi sepanjang pemerintahan Hasina, katanya.

Bangladesh dianggarkan mempunyai 126.1 juta pengundi berdaftar, termasuk 4.5 juta pengundi baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan