EKONOMI

Petronas Kekal Milik Persekutuan, Libat Penyertaan Negeri Melalui Kerjasama Strategik - Azalina

14/08/2025 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) --   Pemilikan Petronas adalah kekal di bawah kerajaan Persekutuan, namun pendekatan memperkukuh penyertaan negeri-negeri melalui platform kerjasama strategik, pelaksanaan projek bersama dan penglibatan dalam rantaian nilai adalah sejajar dengan struktur Persekutuan yang inklusif selain memastikan kesinambungan manfaat buat semua pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan Persekutuan pada masa ini merupakan pemilik tunggal Petronas yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat minyak dan gas negara. 

"Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) mengamanahkan Petronas dengan pemunyaan mengenai petroleum, dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif bagi meneroka, mengurus dan membangunkan sumber petroleum negara, sama ada di daratan, di pantai atau di luar pantai Malaysia," tambahnya.

Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di portal Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jeffrey Gapari Kitingan (GRS-Keningau) yang bertanya jika kerajaan mempertimbangkan untuk mengagihkan 50 peratus saham pemilikan dalam Petronas kepada wilayah-wilayah serta negeri-negeri pengeluar minyak dan gas iaitu Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan. 

Menurut Jeffrey, ini merupakan langkah fundamental untuk memperkukuh Persekutuan Malaysia agar bergerak maju ke depan sambil meredakan pempolitikan termasuk perasaan tidak puas hati terhadap hak minyak dan gas.

Azalina berkata walaupun pemilikan Petronas berpusat di bawah kerajaan Persekutuan, pendekatan yang diguna pakai ketika ini membolehkan negeri-negeri pengeluar menerima manfaat langsung daripada industri petroleum melalui bayaran tunai dan pelbagai bentuk kerjasama komersial. 

Pada masa yang sama, hasil keseluruhan daripada sektor ini turut diagihkan secara saksama ke seluruh negara, selaras dengan keperluan pembangunan negara, tambahnya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan