KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih dengan rekod tertinggi sebanyak RM168.43 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2025, melonjak 82.7 peratus berbanding RM92.20 juta pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.
Prestasi yang kukuh ini didorong oleh pertumbuhan pendapatan dalam insurans/takaful termasuk pengalaman tuntutan yang menggalakkan dalam segmen insurans semula takaful semula, kata kumpulan itu melalui satu kenyataan hari ini.
Hasil kumpulan meningkat kepada RM975.56 juta daripada RM857.58 juta, disokong oleh sumbangan yang lebih baik daripada perniagaan insurans semula dan takaful umum.
Presiden Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Rudy Rodzilla Che Lamin berkata hasil perkhidmatan insurans/takaful kumpulan itu menokok sebanyak 223.5 peratus selepas dipacu oleh pertumbuhan pendapatan yang mantap.
Nisbah gabungan tersebut merupakan satu lagi kemuncak kewangan utama, meneruskan trajektori positifnya dan meningkat kepada 73 peratus daripada 90.1 peratus, didorong oleh tuntutan yang lebih rendah dan perbelanjaan yang boleh ditanggung.
"Penambahbaikan ini mencerminkan pengalaman tuntutan yang lebih baik, terutamanya dalam segmen insurans semula, yang menunjukkan disiplin pengunderaitan yang dipertingkatkan dan kepelbagaian risiko. Keputusan ini mengesahkan usaha transformasi kami yang memberi tumpuan kepada pertambahan nilai jangka panjang.
"Kami tetap komited untuk melaksanakan inisiatif utama bagi mengukuhkan serta mengembangkan kehadiran pasaran termasuk saluran pengedaran kami, meningkatkan kecekapan operasi dan memajukan pembangunan bakat," katanya.
MNRB berkata kumpulan itu mencatatkan keputusan pelaburan sebanyak RM165 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026, naik 23.5 peratus daripada RM133.6 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Prestasi suku tahunan yang cemerlang ini telah meningkatkan pulangan tahunan ke atas ekuiti (ROE) kepada 17.8 peratus, berbanding hanya 11.1 peratus yang disaksikan semasa suku pertama tahun kewangan 2025, menggariskan produktiviti modal dan pembuatan nilai pemegang saham yang dipertingkatkan, katanya.
Menurut kumpulan itu, bahagian insurans semula/takaful semula, Malaysia Reinsurance Bhd (Malaysia Re), telah menyampaikan keuntungan suku pertama tertinggi selepas cukai (PAT) sebanyak RM112.1 juta, kenaikan 30.3 peratus daripada RM86.1 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelum ini.
Pendapatan insurans/takaful Malaysia Re bertambah 10.1 peratus kepada RM539.1 juta berbanding RM489.6 juta sebelumnya, didorong oleh portfolio takaful semula keluarga termasuk perniagaan khusus dan agen pengurusan am (MGA).
Sementara itu, segmen-segmen takaful seperti Takaful Ikhlas General Bhd dan Takaful Ikhlas Family Bhd, yang secara kolektif dikenali sebagai Takaful Ikhlas, mencatatkan gabungan PAT sebanyak RM23.9 juta, menokok 43.1 peratus daripada RM16.7 juta yang dicatatkan dalam suku pertama tahun kewangan 2025
Hasil Takaful Ikhlas General melonjak 42.3 peratus kepada RM267.5 juta daripada RM188 juta didorong oleh pengembangan berterusan dalam portfolio kenderaan dan sumbangan saluran agensi yang kukuh.
Prolehan Takaful Ikhlas Family menunjukkan peningkatan 13.7 peratus kepada RM91 juta daripada RM80 juta, disokong oleh perniagaan yang berkaitan dengan kredit dan sumbangan sekali sahaja melalui saluran bancatakaful serta korporatnya.
MNRB ketika mengulas mengenai prospek berkata perniagaan takaful semula/insurans semula akan terus memberi tumpuan ke arah mengejar kepelbagaian geografi dan risiko di pasaran yang menguntungkan.
"Walaupun perniagaan takaful umum terus memperluaskan kehadirannya dalam segmen takaful kenderaan, penekanan yang lebih besar akan diberikan kepada pertumbuhan bukan permotoran.
"Pada masa yang sama, perniagaan takaful keluarga akan memberi tumpuan kepada peningkatan daya agensi dan meningkatkan produktiviti ejen melalui inisiatif pembangunan yang disasarkan dan strategi pengekalan," tambahnya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial