Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid dan Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Malaysia perlu meningkatkan keupayaan penapisan emas tempatan untuk meminimumkan aliran keluar pertukaran asing apabila logam berharga itu dihantar ke kemudahan penapisan di luar negara.
Dalam membuat gesaan itu, Datuk Seri Louis Ng, Pengerusi Eksekutif Public Gold Marketing Sdn Bhd, berkata peningkatan kapasiti penapisan emas tempatan akan membantu mengurangkan kos kepada peruncit dan mengekalkan lebih banyak nilai dalam ekonomi domestik.
“Ia juga akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan emas serantau,” katanya kepada Bernama menerusi satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
Ng yang juga merupakan presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA) berkata emas sekerap di Malaysia, biasanya dengan ketulenan sekitar 91 peratus, ketika ini dihantar ke luar negara untuk ditapis bagi mencapai ketulenan 99.99 peratus.
“Proses ini melibatkan kos tambahan, termasuk yuran penapisan dan kerugian pemprosesan emas.
"Jika kita boleh menapis emas di dalam negara, kita boleh mengurangkan aliran keluar pertukaran asing dan mengekalkan lebih banyak nilai dalam ekonomi domestik," katanya.
Beliau berkata usaha memperluas keupayaan penapisan emas tempatan juga akan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan emas serantau, yang seterusnya berpotensi menarik peruncit asing untuk mengimport emas ditapis di Malaysia.
Ng berkata MGA, yang mewakili industri logam berharga emas, perak dan platinum di negara ini, menyokong inisiatif tersebut dengan menghubungkan ahli yang berminat untuk melabur dalam kemudahan penapisan.
Matlamat utama langkah ini adalah untuk meminta kerajaan memberi mandat kepada penapisan tempatan, sama seperti dasar yang telah dilaksanakan di Indonesia, katanya.
Beliau berkata beberapa kemudahan penapisan emas tempatan sudahpun beroperasi, termasuk sebuah di Batu Kawan, Pulau Pinang dan sebuah lagi di Lembah Klang.
"Dari segi perlombongan, emas sedang giat diteroka dan dilombong di Selinsing, Pahang, Tawau di Sabah, dan Kota Bharu di Kelantan," katanya.
Public Gold yang ditubuhkan pada 2008, pada masa ini memberi khidmat kepada kira-kira dua juta pelanggan, kebanyakannya yang berpendapatan sederhana dan mengendalikan 18 cawangan di seluruh negara, bersama-sama dengan kira-kira 100 mesin juruwang automatik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial