SUKAN

Satu Pukulan Kecewakan Malaysia Pada Pusingan Kelayakan ASEAN Golf Maybank 2025

13/08/2025 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Suasana sedih menyelubungi Malaysia pada Pusingan Kelayakan ASEAN Kejohanan Golf Maybank 2025 hari ini, selepas dua pemain wanita negara Ng Jing Xuen dan Genevieve Ling ketinggalan hanya satu pukulan untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu.

Kedua-dua pemain itu mencatat tiga atas par 147 bagi dua pusingan di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) untuk berkongsi tempat keenam, sekali gus gagal berada dalam kelompok lima terbaik yang kesemuanya dikuasai pemain Thailand.

Kritchanya Kaopattanaskul muncul juara dengan catatan tujuh bawah par 137, diikuti Achiraya Sriwong di tempat kedua (lima bawah par 139), manakala Namo Luangnitikul di tempat ketiga (par 144) serta Cholcheva Wongras dan Kan Bunnabodee berkongsi di tempat keempat (dua atas par 146).

Jing Xuen berkata beliau tidak bernasib baik meskipun bermula dengan baik tetapi gagal menamatkan saingan di kedudukan yang diharapkan.

“Saya sudah berikan yang terbaik dan hanya ketinggalan satu pukulan untuk layak. Tidak mengapa, itulah sukan golf dan itulah kehidupan. Saya terima,” katanya ketika ditemui selepas tamat pusingan itu.

Walaupun mengalami kekecewaan, Jing Xuen iaitu pemain wanita pertama Malaysia memenangi pingat emas acara individu pada Sukan SEA 2023 berpuas hati dengan pukulan yang dilakukan, namun mengakui pengurusan risiko dan strategi permainan perlu diperbaiki.

Sementara itu, Kritchanya yang masih berstatus amatur berkata beliau berpuas hati dengan kejayaan di Malaysia, yang menjadi lebih bermakna selepas melakukan pukulan selubang (hole-in-one) pertama dalam kariernya semalam.

Beliau kini akan memberikan tumpuan pada persiapan menghadapi Kejohanan Golf Maybank 2025 yang dijadualkan berlangsung di KLGCC dari 30 Okt hingga 2 Nov ini.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan