JENAYAH & MAHKAMAH

Pengawal Keselamatan Didenda RM5,000 Buat Hantaran Hina Nabi Muhammad SAW

13/08/2025 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membuat dan memulakan hantaran menghina Nabi Muhammad SAW menerusi akaun Facebooknya, April lepas.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap M.Ramesh, 57, selepas Orang Kena Saman (OKS) itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan sekiranya lelaki itu gagal membayar denda, dia boleh dikenakan penjara lima bulan. OKS membayar denda.

Ramesh didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komen jelik melampau sifatnya menerusi akaun Facebook "Ramesh Muniandy" untuk menyakitkan hati orang lain, pada 10.20 pagi, 11 April.

Hantaran itu kemudian dilihat di Aras 4, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya, Jalan Tunku Abdul Rahman, Presint 3, Putrajaya pada 12 tengah hari, 15 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Mohamad Farhan Kamarudin memohon hukuman berat kerana kesalahan itu amat serius selain OKS secara sedar telah menghina serta memfitnah Nabi Muhammad SAW dengan tuduhan yang tidak berasas.

"Komen tersebut jelas berpotensi menimbulkan kemarahan orang Islam dan menjatuhkan maruah orang Islam. Komen itu boleh dibaca oleh sesiapa sahaja termasuk golongan muda sekali gus memberi kesan negatif kepada persepsi dan tingkah laku masyarakat. 

"Apabila kenyataan sebegini dibiarkan tersebar dalam talian dan dapat diakses oleh sesiapa sahaja, ia berpotensi menimbulkan persepsi yang salah kepada orang ramai," katanya.

Peguam P. Chandra Segaran memohon hukuman denda paling rendah kerana anak guamnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan berpendapatan RM1,700 sebulan perlu menyara isteri, tiga anak serta ibu yang uzur.

"Semasa membuat hantaran tersebut, OKS tidak dapat mengawal diri dan perasaan, sebab itu dia telah membuat hantaran balasan kepada pihak lain. 

"Pengetahuannya terhadap perkara itu amat cetek, oleh itu dia memohon maaf kepada mahkamah dan kepada sesiapa yang telah membaca hantaran tersebut. Ini merupakan kesalahan pertama OKS dan dia insaf serta tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi," kata peguam itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan