KUCHING, 12 Ogos (Bernama) -- Semangat skuad Kuching City FC pada kempen Liga Super 2025/2026 terus membara selepas menerima tajaan RM1 juta daripada Press Metal Bintulu Sdn Bhd bagi tempoh satu musim.
Majlis menandatangani memorandum tajaan di Hotel Pullman di sini, disempurnakan Pengerusi Kuching City FC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Press Metal Bintulu, Ooi Beng Guan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan.
Fazzrudin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) berkata kerjasama strategik bersama Press Metal memasuki tahun ketiga, sekali gus membuktikan keyakinan syarikat itu terhadap potensi pasukan.
Menurutnya sokongan tersebut penting bagi memperkukuh perancangan jangka panjang kelab, termasuk usaha melahirkan lebih ramai pemain tempatan berdaya saing di Liga Super.
Beliau berpuas hati dengan kemenangan sulung menewaskan Kelantan The Real Warriors FC 4-0 pada 9 Ogos lepas dan optimis kombinasi pemain import serta tempatan mampu memberi cabaran sengit kepada lawan.
Bagaimanapun, Fazzrudin mengingatkan pemain supaya kekal fokus menghadapi perlawanan seterusnya, termasuk aksi getir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Negeri pada 24 Ogos ini.
Bagi saingan Piala FA, Kuching City FC meletakkan sasaran mara ke suku akhir, namun pendekatan realistik akan diambil untuk melangkah lebih jauh berdasarkan prestasi semasa.
Selain bola sepak, Press Metal turut aktif melaksanakan pelbagai inisiatif komuniti di Sarawak merangkumi pembinaan kemudahan pendidikan, bantuan kesihatan bernilai jutaan ringgit serta penajaan sukan lain seperti badminton.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial