AM

Sambutan Ambang Merdeka Sri Gading Akan Dimeriahkan Dengan Acara Silang Budaya

11/08/2025 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Parlimen Sri Gading akan meraikan sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos ini dengan pelbagai acara silang budaya termasuk persembahan kompang, tarian singa, pertandingan nyanyian patriotik, ikrar Rukun Negara dan pertunjukan bunga api.

Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan berkata program yang akan berlangsung di Dewan Hj Aminolhuda, Batu Pahat, Johor itu dijangka menarik lebih 500 pengunjung, dengan penglibatan pelbagai kaum dan penyertaan kanak-kanak dalam pertandingan mewarna bertemakan kemerdekaan.

“Bila kita libatkan pelbagai kaum, semua akan datang. Kemuncaknya adalah pertunjukan bunga api, pada tahun lepas agak banyak juga…bukan sahaja kanak-kanak yang gembira, orang tua di kampung juga seronok,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program 'Jendela Fikir Istimewa Merdeka: Malaysia MADANI Rakyat Disantuni' terbitan Bernama Radio hari ini.

Beliau berkata program yang akan bermula selepas solat isyak itu akan diisi dengan persembahan silang budaya bagi memupuk semangat perpaduan, selain jamuan nasi beriani yang merupakan antara makanan ikonik di Batu Pahat sebagai tarikan bersama masyarakat pelbagai kaum.

Aminolhuda berkata sebelum sambutan itu pihaknya akan mengedarkan bendera Jalur Gemilang kepada 30 sekolah, balai polis, klinik serta institusi pengajian tinggi di kawasan Parlimen tersebut.

Terdahulu, bercakap dalam program Jendela Fikir Istimewa Merdeka, beliau menekankan kepentingan perpaduan kaum sebagai asas kestabilan negara yang seterusnya menarik pelabur dan memajukan ekonomi.

Beliau berkata pembangunan di kawasan Sri Gading kini rancak dengan adanya industri, kilang dan institusi pendidikan seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang menyediakan peluang pekerjaan sekali gus mengekalkan penduduk tempatan daripada berhijrah ke bandar besar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan