KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Hari keempat Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa (MTHQA) ke-65 menyaksikan enam peserta tilawah akan memperdengarkan bacaan masing-masing di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, di sini malam ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan acara tilawah yang dijadualkan berlangsung pada 8.45 malam ini dimulakan dengan bacaan qari dari Kosovo Albion Cerkini, diikuti qariah Mesir Asmaa Adel Sayed Ahmed Mohamed.
Majlis itu kemudian diteruskan dengan bacaan qari dari Comoros Fazaldine Abdou, qari Mauritius Muhammad Umair Karroo, qariah Thailand Najihah Hajicheama dan qari Myanmar Zaw Min Htike.
Majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka itu disiarkan secara langsung melalui RTM TV1 dan saluran rasmi media sosial JAKIM bermula pada 8.30 malam.
Terdahulu, pada sebelah pagi, lapan peserta hafazan, iaitu masing-masing dari Togo, Bangladesh, Burkina Faso, Ivory Coast, India, Jordan, Amerika Syarikat dan Senegal telah memperdengarkan bacaan mereka.
Bertemakan "Membangun Ummah MADANI", MTHQA ke-65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara.
Pemenang kategori Tilawah bakal membawa pulang wang tunai RM40,000 manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima RM30,000 dan RM20,000, selain barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial