KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Negara anggota ASEAN akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan Grid Tenaga ASEAN semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga pada Oktober ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata MoU itu akan menumpukan pelan hala tuju Grid Tenaga ASEAN, penyeragaman standard dan peraturan serta model perniagaan yang melibatkan transaksi pertukaran tenaga antara negara anggota ASEAN.
“Ini perkara-perkara yang akan dijelaskan dalam MoU itu dengan setiap negara akan mengambil tindakan untuk merealisasikannya (APG)," katanya kepada pemberita selepas majis pelancaran awal Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 di sini, hari ini.
Hadir sama di majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli dan Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga ASEAN Datuk Razib Dawood.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata ASEAN telah sekian lama membincangkan APG.
Semasa beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga di Vientiane tahun lepas, negara anggota ASEAN telah bersetuju untuk meneliti semula inisiatif itu dan memastikan APG menjadi tumpuan utama pada masa hadapan, katanya.
Beliau berkata memandangkan Filipina akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun hadapan, diharapkan MoU sedia ada dapat dipertingkatkan menjadi satu perjanjian rasmi, yang akan menjadi langkah penting ke arah pelaksanaan APG.
“Bahagian perincian akan melibatkan setiap negara anggota mengemukakan maklum balas kepada kerajaan masing-masing, untuk mereka merangka perkara khusus. Selepas itu, jawatankuasa kerja akan berhubung dengan mereka untuk membangunkan satu perjanjian yang dipersetujui bersama dan piawaian bersama untuk ASEAN," katanya.
Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan, Fadillah berkata 2025 akan menjadi tempoh perubahan penting bagi kerjasama tenaga ASEAN, menandakan kemuncak Fasa II Pelan Tindakan bagi Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2021-2025, dan permulaan APAEC 2026-2030.
“Memandangkan kita bersedia untuk menghadapi peralihan ini, kita menyedari keperluan yang semakin mendesak untuk mempertingkat usaha bagi mempercepat peralihan tenaga bersih, meningkatkan keterjaminan tenaga dan meluaskan akses khususnya kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan di seluruh rantau kita,” katanya.
PETRA, dengan kerjasama Pusat Tenaga ASEAN, akan menganjurkan AEBF 2025 dari 15 hingga 17 Okt, 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43.
Forum ini bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan menggerakkan perkongsian untuk mempercepat transformasi tenaga di rantau ini.
AEBF 2025 merupakan satu pencapaian penting dalam Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 yang mengangkat tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial