JENAYAH & MAHKAMAH

BERGADUH KETIKA PERLAWANAN BOLA SEPAK: LIMA MASIH DIKESAN, TUJUH BEBAS DENGAN JAMINAN POLIS

10/08/2025 07:16 PM

IPOH, 10 Ogos (Bernama) -- Polis kini giat mengesan lima lagi suspek bagi melengkapkan siasatan dalam kejadian merusuh semasa perlawanan bola sepak yang berlangsung di Padang Speedy, Teluk Intan pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata tujuh suspek berusia antara 21 hingga 32 tahun yang direman selama tiga hari bermula 8 Ogos lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan akan diberi jamin polis hari ini.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam dalam minggu ini bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 8 Ogos lepas, media melaporkan polis menahan tujuh lelaki disyaki terlibat dalam kejadian merusuh semasa perlawanan bola sepak berkenaan.

Bakri berkata tangkapan dilakukan selepas menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan terdapat pergaduhan melibatkan dua pasukan bola sepak tempatan yang bermain dalam Liga Integriti Hilir Perak 2025.

Sementara itu, Bakri mengesahkan polis berjaya menahan lima suspek yang diburu bagi melengkapkan siasatan pada petang ini.

“Kesemua suspek terbabit berusia antara 20 hingga 30 tahun dan reman akan dibuat pagi esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan