AM

Siap Siaga Hadapi Luruan Angin Di Pantai Timur Sabah - Ahmad Zahid

17/09/2025 11:44 PM

PUTATAN, 17 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua pihak bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlaku luruan angin ke Pantai Timur Sabah terutama daerah Sandakan dan Lahad Datu, selepas melanda Pantai Barat negeri ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata luruan itu diramal berlaku dalam tempoh dua hingga tiga hari ini, sekali gus menasihatkan penduduk di kawasan berkenaan bersiap sedia untuk berpindah dan mematuhi apabila arahan dikeluarkan dengan membawa dokumen diri penting.

“Kita ucap terima kasih kepada Jawatankuasa Bencana Negeri dan Daerah, semua agensi dan jabatan yang membantu, terutamanya NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara). Paling penting kesiapsagaan kita kerana di khuatiri dua tiga hari ini ada luruan angin akan datang semula dan akan pergi ke Sandakan serta Lahad Datu.

“Ini bukan bertujuan menakut-nakutkan tetapi dari segi kesiapsiagaan apabila arahan berpindah, patuhi arahan dengan membawa dokumen,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyantuni penduduk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Keramat di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) Sabah yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong dan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Terdahulu Ahmad Zahid diberikan taklimat oleh Safar sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kemudian meninjau PPS di daerah Putatan, antaranya PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Petagas, PPS Dewan PPR Taman Sri Keramat, PPS Seringai dan PPS Meruntum.

Ahmad Zahid berkata pihaknya sedang meneliti senarai rumah rosak akibat bencana banjir dan tanah runtuh di negeri itu yang dikemukakan oleh JPBN supaya dapat bersama-sama dibantu untuk dibaiki atau dibina semula.  

“Pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga diminta membantu mana-mana rumah rosak yang masih boleh dibaiki dengan memasang pendawaian semula agar elektrik dapat disalurkan,” katanya.

Beliau berkata pegawai dan jentera agensi kerajaan yang terlibat akan digerakkan ke daerah terjejas bersama aset yang diperlukan bagi membantu rakyat yang memerlukan. 

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengadakan lawatan ke Sabah berkemungkinan ke daerah Penampang bagi menyantuni rakyat dan meninjau sendiri situasi bencana.

“Saya pergi ke tiga daerah hari ini dan esok. Insya-Allah saya akan kembali lagi pada Sabtu untuk melihat daerah lain dan melakukan beberapa koordinasi terutamanya di kawasan yang perlu usaha pembersihan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan melakukan beberapa koordinasi dengan membekalkan water jet dan lori tangki air bagi kerja pembersihan selain berkerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO).

Ahmad Zahid berkata beliau berpuas hati dengan penyelarasan yang dibuat oleh jawatankuasa pengurusan bencana di semua peringkat negeri dan daerah dalam membantu proses pemindahan mangsa terjejas di PPS.

Mengenai kerosakan jambatan akibat bencana itu, beliau berkata laporan telah pun diterima terutama melibatkan jambatan kegunaan harian yang rosak.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya dan Angkatan Tentera Malaysia untuk menyegerakan pembaikan agar laluan perhubungan berbentuk sementara dapat dibina sebelum penilaian bagi pembinaan jambatan baharu,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan