EKONOMI

MITI Adakan Rundingan FTA Dengan Majlis Kerjasama Teluk Menjelang Akhir Tahun

17/09/2025 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memulakan pusingan pertama rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Disember depan, kata Ketua Setiausaha MITI Datuk Hairil Yahri Yaacob hari ini.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk Malaysia mengembangkan perdagangannya dengan negara anggota GCC.

Hairil berkata MITI baru sahaja memuktamadkan rundingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) dengan Emiriah Arab Bersatu dan akan menandatangani perjanjian itu sebaik sahaja Malaysia dan UAE memuktamadkan prosedur domestik.

"Kami (MITI) sedang dalam proses untuk menyelesaikan prosedur perundangan tidak lama lagi dan bulan depan perjanjian itu akan berkuat kuasa. Bagi GCC, kami akan memulakan rundingan dalam masa terdekat, malah ketua perunding Malaysia dan GCC masingg-masing bertemu secara fizikal beberapa bulan lepas.

“Selain itu, kami akan mengadakan rundingan sepenuhnya pada Disember ini di salah satu negara anggota GCC,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung tahunan ke-15 Dewan Perniagaan Arab-Malaysia (AMCC) di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengulangi komitmen kongsi Malaysia kepada rakan kongsi negara-negara Arab dan berharap untuk mengukuhkan hubungan melangkaui perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terlibat dalam dialog berterusan dengan rakan kongsi dan rakan sejawatan dari Timur Tengah untuk meningkatkan hubungan perdagangan dengan Malaysia, memandangkan Timur Tengah telah menjadi salah satu rakan dagangan utama bagi Malaysia.

"Perkara berkaitan ekonomi dan perdagangan telah menjadi penting dan mendapat perhatian dalam dasar Malaysia ke arah Timur Tengah. Selama ini, rantau berkenaan bukan sahaja menjadi sumber pelaburan langsung asing (FDI) tetapi juga pasaran utama untuk produk dan perniagaan Malaysia.

"Sebagai contoh, banyak produk pelbagai peringkat daripada kereta Proton hinggalah kepada komoditi telah dieksport ke Timur Tengah; manakala potensi industri halal telah diteroka dan dimulakan," kata Tengku Zafrul.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Hairil.

Tengku Zafrul menekankan bahawa Malaysia terus menawarkan persekitaran yang stabil, terbuka dan mesra perniagaan termasuk beberapa kelebihan lain seperti lokasi geografi strategik di tengah-tengah ASEAN, tenaga kerja berkemahitan dan boleh berkomunikasi dalam pelbagai bahasa, perlindungan IP dan undang-undang yang kukuh.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan