DUNIA

Ringgit Ditutup Pada Paras Tertinggi Dalam Tempoh Hampir Setahun Berbanding Dolar AS

17/09/2025 08:40 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi pada Rabu, mencecah paras tertinggi hampir setahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang keputusan kadar faedah AS yang akan diumumkan lewat hari ini, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu berada pada paras 4.1860/1900 berbanding 4.1975/2080 ketika ditutup Jumaat. Ringgit kali terakhir ditutup lebih kukuh pada paras 4.1760 pada 2 Okt, 2024.

Pasaran ditutup pada Isnin dan Selasa sempena cuti Hari Malaysia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan terhadap pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS telah mendorong permintaan ke atas mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit.

“Para peniaga dan pelabur sedang menantikan tindakan terkini Fed, khususnya carta titik unjuran yang akan menjadi panduan kepada pasaran mengenai hala tuju kadar faedah AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pasaran secara kebanyakannya menjangkakan pemotongan sebanyak 25 mata asas.

Dalam hal ini, Mohd Afzanizam menambah tumpuan utama ialah sejauh mana Fed bersedia untuk menurunkan kadar faedah dan apakah kesannya ke atas prospek ekonomi AS.

“Dari segi jangka masa terdekat, dolar kelihatan lemah memandangkan Fed mungkin perlu menunjukkan kepada pasaran bahawa ia masih mengawal keadaan,” katanya.

Ringgit bagaimanapun diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama, susut berbanding yen kepada 2.8607/8636 daripada 2.8373/8446 ketika ditutup pada Jumaat, turun berbanding pound Britain kepada 5.7131/7185 daripada 5.6864/7006 dan jatuh berbanding euro kepada 4.9583/9631 daripada 4.9203/9326.

Berbanding mata wang di negara-negara ASEAN, ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 254.6/255.0 daripada 256.3/257.0 dan tinggi berbanding baht Thai kepada 13.1892/2081 daripada 13.2317/2703. Bagaimanapun, ia susut  berbanding peso Filipina kepada 7.36/7.37 daripada 7.35/7.37 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2793/2827 daripada 3.2719/2803.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan