JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket Dadah: PDRM Tunggu Maklumat Lanjut Pasukan Antinarkotik Myanmar - KPN

17/09/2025 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklumat lanjut pasukan antinarkotik Myanmar berhubung penahanan anggota sindiket yang dipercayai terbabit menyeludup dadah dalam kuantiti besar ke Malaysia baru-baru ini, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

“Ia masih dalam proses siasatan dan kita sedang bekerjasama dengan pihak antinarkotik Myanmar. Kita masih menunggu beberapa maklumat daripada pihak sana (Myanmar),” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas, media The Global New Light of Myanmar melaporkan pasukan antinarkotik Myanmar berjaya menumpaskan sindiket yang dipercayai terbabit dalam penyeludupan dadah berskala besar ke Malaysia selepas enam suspek ditahan di Perbandaran Shwepyitha, Yangon pada 5 Sept.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa menemukan 1,840 kilogram syabu (methamphetamine), empat juta pil perangsang dan 14 kilogram heroin yang disembunyikan di sebuah gudang dan dadah berkenaan dipercayai dibeli dari Negeri Shan dan diarahkan untuk dihantar ke Malaysia.

Sementara itu, mengulas mengenai pencapaian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Mohd Khalid berkata sebanyak 174,134 kes telah disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 dari Januari hingga 14 Sept lepas.

Beliau berkata selain itu, sebanyak 189,788 tangkapan telah dibuat membabitkan pelbagai peringkat  melibatkan pengedar, pembekal, penghantar serta penagih.

“Hasil operasi berkenaan juga menyaksikan rampasan dadah dalam bentuk pepejal seberat 83,305 kilogram, manakala rampasan dadah dalam bentuk cecair adalah sebanyak 69,155.85 liter dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.96 bilion di pasaran gelap,” katanya.

Mohd Khalid berkata PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran, pemilikan, perlindungan atau aktiviti dadah yang lain serta menyeru orang ramai menyalurkan maklumat melalui hotline JSJN di talian 012-2087222 bagi membantu usaha memerangi dadah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan