KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Polis akan memanggil Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) Tang Yi Ze dan beberapa pihak berkaitan bagi membantu siasatan mengenai kenyataan yang mencadangkan agar program matrikulasi dimansuhkan.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata setakat ini, pihak polis menerima sekurang-kurangnya lima laporan berhubung perkara itu.
“Kita akan panggil pihak-pihak yang berkaitan untuk dirakamkan percakapan mereka... setakat ini, kita ada menerima empat hingga lima laporan polis,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.
Beliau juga berkata polis turut mengesan 10 individu termasuk Ahli Parlimen yang menerima e-mel berunsur ugutan, bagaimanapun hanya empat laporan diterima setakat ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif dalam kes itu.
“Isu-isu begini kadang-kala ada pihak tertentu ingin mengambil kesempatan untuk membuat sesuatu ugutan terhadap individu bagi tujuan kewangan dan sebagainya,” katanya.
Pada Ahad lepas, Bernama melaporkan polis menerima empat laporan daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung ugutan penyebaran video lucah palsu dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan bagi tujuan pemerasan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar, kes pertama melibatkan Ahli Parlimen Subang Wong Chen yang menerima e-mel menuntut bayaran 100,000 USDT (mata wang kripto Stablecoin) dengan amaran video palsu berunsur lucah menggunakan wajahnya akan disebar jika tuntutan tidak dipenuhi.
“Tiga lagi laporan dibuat oleh Senator Datuk Nelson W. Angang, ADUN Kulim Wong Chia Zhen serta Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari,” katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memeras ugut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Pada Ahad lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan mendapatkan kerjasama syarikat Google bagi membantu siasatan e-mel ugutan berkenaan yang dipercayai dihantar oleh individu sama kepada ramai penerima.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial