JENAYAH & MAHKAMAH

Tokan Dadah Tumpas, Kereta Jadi Stor Simpanan Diserbu

17/09/2025 10:16 AM

ALOR GAJAH, 16 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang individu selepas menemukan lebih dua kilogram dadah dipercayai jenis heroin dan syabu bernilai kira-kira RM35,000 yang disorok dalam sebuah kereta di Jalan Industri Rumbia di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah DSP Azrul Mohamed berkata suspek berusia 31 tahun itu ditahan pada 6.10 pagi 12 Sept lepas oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Melaka.

"Pemeriksaan lanjut terhadap kereta jenis Honda Jazz tersebut menemukan 1,500 peket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis heroin seberat 2,129.30 gram.

"Turut ditemukan 100 peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 96 gram dan keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM35,000,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Turut disita sebuah motosikal jenis Benelli 150 bernilai kira-kira RM5,000.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak Julai lepas dan dadah tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan oleh kira-kira 2,500 penagih.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau dengan status tiada tindakan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya.

Azrul berkata suspek ditahan reman selama tujuh hari dari 12 hingga 18 Sept untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas. 

"Polis menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan masing-masing melalui talian hotline JSJN di 012-2087 222,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan