DUNIA

Malaysia, Itali Perkukuh Komitmen Perdagangan Dan Hubungan Dua Hala

17/09/2025 12:05 AM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Itali memperkukuh komitmen untuk meningkatkan hubungan dua hala, menzahirkan momentum baharu dalam kerjasama susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rom pada Julai lepas.

Duta Besar Malaysia ke Itali Datuk Zahid Rastam, menekankan asas kukuh hubungan Malaysia-Itali.

Beliau turut mengetengahkan kepentingan Kepengerusian ASEAN yang disandang Malaysia pada 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal membuka peluang bagi mengukuhkan lagi hubungan ekonomi, politik, budaya dan hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar  dan Kerjasama Antarabangsa Itali Edmondo Cirielli menekankan persahabatan erat antara Malaysia dan Itali, sambil memuji kedalaman hubungan dua hala serta peranan Malaysia yang semakin menyerlah di pentas global.

Beliau turut memuji kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang berperanan konstruktif dalam mengukuhkan kestabilan serantau serta memperluas kerjasama.

Menurut Kedutaan Besar Malaysia di Rom, komitmen itu dizahirkan dalam majlis resepsi diplomatik pada 9 Sept sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, Hari Malaysia ke-62 dan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-92.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Dr Qu Dongyu, pegawai kanan kerajaan dan angkatan tentera Itali, wakil pertubuhan antarabangsa, kor diplomatik, akademia, badan pemikir dan sektor swasta.

Kedutaan itu dalam kenyataan dari Rom memaklumkan para tetamu disajikan dengan hidangan tradisional Malaysia dan Itali yang melambangkan pertukaran budaya yang kaya antara kedua-dua negara.

Majlis turut diserikan dengan persembahan memukau oleh penyanyi Malaysia, Desiree de Silva, dan  pemain biola Malaysia yang berpangkalan di Itali, Andrew Tan.

Menurut kedutaan, persembahan itu bukan sahaja menambah dimensi budaya yang berwarna-warni malah menonjolkan bakat seni Malaysia di pentas antarabangsa.

“Sambutan ini meraikan pencapaian penting Malaysia dan menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dua hala, meningkatkan persefahaman budaya serta menyatukan rakyat Malaysia di perantauan dalam semangat patriotisme,” katanya.

Terdahulu pada 6 Sept, kedutaan turut menganjurkan pertemuan komuniti di Court Delicati, sebuah restoran milik rakyat Malaysia di Rom, yang menghimpunkan warga Malaysia serta rakan-rakan Malaysia di Itali bagi meraikan warisan, perpaduan dan pencapaian negara.

Bagi rakyat Malaysia yang berada jauh dari tanah air, acara itu menjadi peluang untuk berkumpul, mengeratkan hubungan dan merasai kembali semangat “Hari Kebangsaan” bersama wajah serta juadah yang dikenali.

Dalam kedua-dua acara komuniti dan diplomatik itu, mesej yang disampaikan jelas: kebanggaan, ketabahan dan persahabatan Malaysia terus bergema melangkaui sempadan negara, kata kedutaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan