KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/2026 dengan langkah kiri apabila tewas 2-1 kepada wakil Thailand, Buriram United.
Dalam aksi di Chang Arena, Buriram, JDT bermula garang apabila merobek gawang tuan rumah seawal 24 saat menerusi Joao Figueiredo, namun jaringan berkenaan dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) berikutan bola telah terkena tangan penyerang itu dalam pembinaan serangan Harimau Selatan.
Buriram turut ditimpa nasib yang sama apabila VAR membatalkan jaringan Guilherme Bessoli pada minit kelapan selepas pemain penyerang berkenaan didapati berada di kedudukan ofsaid.
Jaringan sulung yang sebenar pada perlawanan itu akhirnya menjadi milik JDT pada minit ke-28 apabila Antonio Glauder menyambar bola muntah dalam kotak penalti hasil tandukan dari sepakan penjuru Jon Irrazabal untuk Harimau Selatan mendahului separuh masa pertama 1-0.
Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Suphanat Mueanta pada minit ke-50.
Jaringan berkenaan nyata menambah semangat skuad Thunder Castle apabila mendahului pada minit ke-54 menerusi Robert Zulj.
JDT hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-81, namun tandukan Figueiredo berjaya diselamatkan penjaga gawang Buriram Neil Etheridge yang memastikan kemenangan 2-1 berpihak kepada tuan rumah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial