AM

Dari Sabah Ke Pulau Pinang: Buku Khas Hari Malaysia Lambang Tekad Bersama

17/09/2025 12:11 AM

GEORGE TOWN, 16 Sept (Bernama) -- Buat julung kalinya, Pulau Mutiara malam ini menyaksikan detik bersejarah apabila tiga wakil dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak menurunkan tandatangan dalam Buku Khas Sambutan Hari Malaysia sebagai lambang perpaduan nasional yang semakin utuh.

Dalam suasana penuh gilang-gemilang, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyempurnakan sesi bersejarah itu.

Tandatangan yang diturunkan dalam Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025 melambangkan tekad bersama untuk terus memelihara keamanan, memperkukuh perpaduan dan menjunjung tinggi semangat cintakan negara.

Ia menjadi simbolik bahawa tekad berkenaan bukan hanya terukir di atas kertas, tetapi diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif yang melibatkan penyertaan rakyat secara menyeluruh.

Pegawai Arkib Negeri Sabah Razali Dait yang diberi tanggungjawab untuk ‘menerbangkan’ khas buku itu dari Kota Kinabalu ke Pulau Pinang berkata buku watikah itu diperkenalkan sejak 2010 dan mengandungi kompilasi watikah yang ditandatangani wakil kerajaan Persekutuan, Sabah serta Sarawak pada edisi sambutan Hari Malaysia terdahulu dan buku itu disimpan di Jabatan Arkib Negeri Sabah.

Beliau berkata kulit buku catatan rasmi perayaan Hari Malaysia itu bersalutkan emas dan menggunakan motif tenunan berdasarkan corak etnik tempatan Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

“Kotak Buku Hari Malaysia pula diperbuat daripada kayu jati dan di atas kotak buku ini diletakkan 13 jata negeri dan negara,” katanya kepada Bernama.

Razali berkata buku dan kotak tersebut diilhamkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika itu, Tan Sri Dr Rais Yatim manakala penyediaannya dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Meskipun teknologi digital semakin berkembang, beliau berkata buku berkenaan tidak mengalami sebarang perubahan dengan kekal sebagai fakta sejarah, namun halaman yang ditandatangani sahaja berbeza mengikut tahun, negeri dan wakil.

“Buku ini tidak pernah dipamerkan dan buat pertama kali pada sambutan tahun ini, kita buat satu video dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),” katanya.

Upacara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia adalah acara tradisi setiap kali sambutan Hari Malaysia sebagai simbolik dan memperingati sejarah pembentukan Malaysia hasil gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 Sept 1963.

Watikah Pemasyhuran Malaysia yang pertama ditandatangani Perdana Menteri pertama dan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada 16 Sept 1963 dalam bahasa Malaysia dengan tulisan Jawi serta bahasa Inggeris sekali gus menjadi dokumentasi penting mengenai pembentukan Malaysia.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, sambutan Hari Malaysia malam ini turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow selaku tuan rumah bersama barisan jemaah menteri.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan