KOTA BHARU, 16 Sept (Bernama) -- Kira-kira 70 penduduk Felda Chiku 1 dan 2, Gua Musang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini selepas kawasan itu dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak petang tadi yang masih berterusan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Mohd Adzhar Mujab berkata pihaknya menerima laporan limpahan air di kawasan penempatan itu kira-kira 6 petang sebelum mengarahkan pemindahan mangsa ke PPS berdekatan sebagai langkah keselamatan.
Beliau menegaskan situasi tidak membimbangkan namun orang awam dinasihatkan agar tidak berada atau bermain di kawasan berisiko.
“Jika keadaan bertambah baik, semua mangsa boleh pulang atau gotong-royong akan diadakan esok,” katanya kepada Bernama hari ini.
Hujan lebat mengakibatkan lebih 50 rumah di Felda Chiku 1 dan 2 dinaiki air dan penduduk memaklumkan air mula melimpah masuk ke kediaman mereka malam ini.
Penduduk, Razali Daud, 73, berkata hujan lebat kira-kira sejam setengah menyebabkan air memasuki ruang dapur rumahnya.
“Air mula memasuki bahagian dapur pada kira-kira 6.30 petang dan sehingga kini paras air terus meningkat kerana hujan masih belum berhenti. Situasi sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini. Biasanya walaupun hujan lebat lama, air tidak pernah masuk ke dalam rumah,” katanya.
Seorang lagi penduduk Shamsaziela Mohd Ghazali, 35, yang kini berada di PPS, berkata beliau bersama 30 ahli keluarga ditempatkan di Dewan Chiku 2 kira-kira 8.30 malam.
“Sebelum meninggalkan rumah, air di hadapan sudah mencecah paras pinggang orang dewasa. Kami hanya sempat menyelamatkan dokumen penting,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial