DUNIA

Pelajar Indonesia Bangga Tonjolkan Semangat Serumpun Di Sambutan Hari Malaysia

16/09/2025 09:16 PM

Oleh Mohd Iswandi kasan Anuar

JAKARTA, 16 Sept (Bernama) -- Pelajar sekolah menengah Indonesia menzahirkan rasa bangga berpeluang menyertai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia serta menekankan peranan generasi muda dalam memperkukuh hubungan dua negara.

Melodia Nada Safira, 17, dari Sekolah Menengah Atas (SMA) 78 Jakarta berkata 20 pelajar diiringi dua guru menghargai jemputan membuat persembahan Choral Speaking atau berbicara berirama pada acara rasmi di kompleks kedutaan.

“Kami berasa sangat bangga dan gembira. Ini merupakan pengalaman berharga kerana melalui kegiatan ini kami memperoleh banyak ilmu dan pengalaman baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempersembahkan Choral Speaking bertajuk "Serumpun" yang menonjolkan keindahan bahasa Indonesia dan Malaysia serta kepelbagaian budaya kedua-dua negara.

Melodia menyeru generasi muda memikul tanggungjawab untuk memelihara warisan budaya, termasuk makanan dan kesenian seperti tarian, pantun dan puisi, di samping memastikan hubungan Malaysia-Indonesia terus kekal harmoni.

Menurutnya, hubungan dua negara kekal baik melalui pelbagai bentuk kerjasama di peringkat antara kerajaan dan masyarakat, sambil menyuarakan harapan agar pelajar Indonesia berpeluang berkunjung ke Malaysia suatu hari nanti bagi memperkukuh persahabatan generasi muda.

SMA 78 Jakarta berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan Choral Speaking yang julung kali dianjurkan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan kerjasama Education Malaysia di Indonesia dan konglomerat telekomunikasi, Axiata baru-baru ini.

Pertandingan itu disertai 14 sekolah menengah di sekitar Jakarta bertemakan hubungan erat Malaysia-Indonesia, dengan mengetengahkan nilai persaudaraan, semangat serumpun dan aspirasi bersama dalam membentuk generasi muda yang lebih memahami kepentingan kerjasama serantau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan