AM

Kostum Pahlawan Iban Bertemakan Jalur Gemilang Ceriakan Sambutan Hari Malaysia

16/09/2025 04:57 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

JOHOR BAHRU, 16 Sept (Bernama) -- Sorakan bergema di Pasar Muafakat Sabah di sini hari ini apabila seorang murid sekolah rendah memperagakan kostum pahlawan Iban bertemakan Jalur Gemilang yang dihasilkan daripada barangan terpakai sempena sambutan Hari Malaysia.

Saif Islam Abdul Rahman,10, dari Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari tampil penuh yakin di pentas mini sambil menggayakan perisai kadbod, tombak kayu dan hiasan burung kenyalang pada kostumnya dihiasi cahaya lampu LED.

Lebih istimewa, kostum itu dihasilkan ibunya, Sharifah Marina Sharif Mohammad, 38, seorang suri rumah dari Kampung Melayu Majidee, menggunakan bahan kitar semula pada kos kurang RM100.

“Kosnya murah sahaja. Saya guna barang terpakai seperti penutup botol untuk rantai, mainan tengkorak sebagai hiasan dan kayu untuk tombak. Saya mahu tonjolkan keunikan Sabah dan Sarawak melalui rekaan ini,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Sharifah Marina yang berasal dari Kampung Likas, Kota Kinabalu, berkata idea berkenaan tercetus hasil cadangan abangnya untuk mengetengahkan simbol keberanian masyarakat Sarawak.

“Anak saya teruja walaupun gementar. Bagi saya, ini cara kecil kami menyemarakkan semangat Hari Malaysia,” katanya yang kini menetap di Johor kerana suaminya bekerja di Singapura.

Saif Islam pula tidak dapat menyembunyikan rasa bangga apabila menjadi tumpuan pengunjung.

“Saya rasa seronok dapat pakai baju pahlawan Iban ini. Saya bersiap awal pagi dan sudah mula bersedia untuk datang ke sini (Pasar Muafakat Sabah) pada 11 pagi. Sangat ‘best’, harap dapat masuk pertandingan sebegini lagi pada masa akan datang,” katanya tersenyum.

Seorang pengunjung, Lucinta Anak William, 42, berkata kreativiti yang dipamerkan oleh kanak-kanak Sabah dan Sarawak amat mengagumkan serta diyakini mampu menyuntik semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Apabila melihat anak-anak kecil begitu bersemangat menyambut Hari Malaysia, saya rasa bangga kerana ia mengingatkan kita bahawa negara ini terbina atas kepelbagaian budaya,” katanya.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati lokasi itu menjadi tumpuan masyarakat Sabah dan Sarawak dengan pelbagai pengisian termasuk pertandingan kostum kanak-kanak, jualan makanan tradisional dan persembahan kebudayaan yang berjaya menarik kira-kira 100 pengunjung.

Program anjuran Persatuan Pasar Muafakat Sabah, Jawatankuasa Penduduk Zon (JKPZ) Seri Alam 2 dan UMNO Cawangan Pangsapuri Sri Delima itu memperlihatkan semangat perpaduan masyarakat perantauan yang tetap berbangga meraikan Hari Malaysia. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan